Rabu, 14 Julai 2021

JDT terima habuan RM251,445

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



JDT menamatkan kempen ACL di tangga ketiga kumpulan. FOTO Ihsan JOHOR Southern Tigers

Kuala Lumpur: Walaupun gagal melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini, skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap mampu tersenyum lebar apabila dijangka menerima laba hampir AS$60,000 atau RM251,445.

Jumlah berkenaan adalah hasil satu kemenangan dan seri yang dilakar skuad Harimau Selatan dalam Kumpulan G selepas mencatatkan keputusan itu ke atas kelab dari Thailand, Ratchaburi FC.

Manakala, empat lagi aksi berdepan pasukan dari Jepun, Nagoya Grampus dan Pohang Steelers dari Korea Selatan berakhir dengan kekalahan untuk menamatkan kempen di tangga ketiga kumpulan.

Penyertaan di ACL sememangnya lumayan dan oleh sebab itu banyak kelab terutamanya di Jepun, Korea Selatan dan Thailand berlumba-lumba untuk meraih tiket ke saingan itu setiap musim.

Untuk rekod, kemenangan setiap perlawanan dalam kumpulan menyaksikan hadiah wang tunai sebanyak AS$50,000 (RM209,534) dan seri sejumlah AS$10,000 (RM41,906).

Hadiah kemenangan itu akan terus meningkat di pusingan berikutnya hingga ke final yang mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Ini bermakna biarpun kempen JDT tidak secemerlang di saingan liga domestik namun kejayaan membawa pulang wang tunai itu sedikit melegakan skuad Harimau Selatan itu.

Selain itu, kejayaan mengumpul empat mata dalam enam aksi peringkat kumpulan turut menyaksikan JDT menyumbang mata dalam ranking MA Malaysia untuk berada pada tangga ke-18 Asia.

Ia sekali gus mengekalkan satu slot buat wakil negara di pentas ACL pada 2023 serta dua tiket ke Piala AFC.

Disiarkan pada: Julai 13, 2021 @ 9:01pm.1

____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730258/jdt-terima-habuan-rm251445

Sabtu, 10 Julai 2021

Penyokong JDT usah cepat melatah

Rizar Mohd Noor - Julai 9, 2021 @ 11:50am

rizar@mediaprima.com.my



Hasnizam Uzir menegaskan Benjamin Mora berjaya mewujudkan satu DNA dan falsafah bola sepak JDT. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Bekas pemain Johor Hasnizam Uzir berharap penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak cepat melatah dengan menuntut pengendali pasukan Benjamin Mora digugurkan.

Ia susulan kegagalan JDT menyerlah pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang diadakan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Hasnizam menegaskan prestasi JDT nyata tidak membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan prestasi dan mampu memberi saingan kepada kelab lebih berpengalaman seperti Pohang Steelers dari Korea Selatan, Nagoya Grampus (Jepun) dan Ratchaburi FC (Thailand).

"Kenapa perlu minta Mora lepaskan jawatan? Saya berpandangan tidak perlu kerana beliau sudah membentuk pasukan yang mantap untuk bersaing dengan kelab-kelab ternama di Asia.

"Malah saya lihat tidak adil untuk Mora melepaskan jawatan. Kita lihat sendiri prestasi JDT, bukan jadi pasukan belasahan dalam saingan Kumpulan G, sebaliknya mampu memberi saingan sehingga pasukan lawan tampak bermandi peluh untuk menang.

"Hanya kita tewas dengan jaringan besar 4-1 ketika menentang kelab dari Korea, itu pun sebab tiga sepakan penalti.

"Apa yang dinyatakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah benar kerana realistiknya Nagoya Grampus dan Pohang Steelers adalah pasukan yang hebat daripada segi teknikal individu pemain mereka dan bersaing di liga yang lebih kompetitif berbanding Liga Malaysia (Liga M).

"Mora setakat ini berjaya merubah corak permainan bola sepak moden yang lebih serta mewujudkan satu DNA dan falsafah bola sepak JDT tersendiri mengikut kemampuan teknikal setiap pemain JDT yang sedia ada.

"Ia terbukti selepas JDT kini masih di tangga teratas Liga Super dan mampu menjaringkan lebih gol berbanding dibolosi," kata Hasnizam.

Semalam, Tunku Ismail mempertahankan Mora selepas dikecam segelintir pengguna media sosial yang mempertikaikan taktikal direncana pengendali kelahiran Mexico itu.

Kelihatan juga banyak banyak komen 'Mora out' dibuat di laman Instragram rasmi kelab.

Hasnizam berkata kelebihan Mora ialah dia mampu menilai kemampuan pemain-pemain muda dan berani menampilkan pemain seperti Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah Usman dan Ariff Aiman Hanafi beraksi di pentas Asia.

"Apa yang sedang berlaku di JDT adalah satu transisi perubahan daripada pemain-pemain senior ke pemain-pemain muda. Justeru penyokong JDT harus berfikir secara realistik dan bukan secara emosi," katanya.1

_____________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/837434/penyokong-jdt-usah-cepat-melatah

Khamis, 8 Julai 2021

JDT gagal tutup kempen ACL dengan kemenangan



PENYERANG Sensasi JDT, Bergson da Silva tenggelam di saingan Liga Juara-Juara di Bangkok. - IHSAN JOHOR Southern Tigers

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

8 Julai 2021, 12:32 am

PETALING JAYA : Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal menamatkan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kemenangan selepas terikat 0-0 dengan Ratchaburi FC pada aksi terakhir Kumpulan G, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang sudah tersingkir dari saingan ACL turun dengan motivasi tinggi untuk menumpaskan Ratchaburi FC buat kali kedua.

Pada saingan yang berlangsung di Stadium Rajamangala itu, skuad bimbingan Benjamin Mora terlebih dahulu memiliki peluang keemasan pada awal permainan tetapi gagal disempurnakan oleh pemain tengah, Safiq Rahim.

Pemain import, Leandro Velazquez turut dihidangkan peluang tetapi tandukan yang dilakukan pada minit ke-20 tepat menuju ke dakapan penjaga gol pasukan lawan, Kampol Pathomakkakul.

Jentera serangan Ratchaburi yang diketuai oleh Steeven Langil turut melakukan beberapa percubaan bahaya ke gawang JDT tetapi gagal mengatasi penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Bersambung pada babak kedua, Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila gerakan cantik yang dilakukan oleh Langil sebelum melakukan rembatan pada minit ke-49 berjaya dinafikan Farizal.

Tersentak dengan itu, Mora memperkemaskan jentera serangan apabila memasukkan Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid untuk menggantikan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.

Keputusan itu membolehkan JDT kembali menguasai perlawanan sebelum berjaya memecah kebuntuan hasil ledakan penyerang utama, Bergson da Silva pada minit ke-70.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil kerana Da Silva menahan bola menggunakan tangan sebelum melakukan rembatan dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan JDT kekal menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengutip empat mata daripada enam perlawanan manakala Ratchaburi kekal dikedudukan tercorot dengan hanya satu mata.

Sementara itu, kelab Jepun, Nagoya Grampus mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi terakhir bertemu wakil Korea Selatan, Pohang Steelers sekali gus menamatkan saingan dengan kedudukan teratas Kumpulan G.1

________________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/jdt-gagal-tutup-kempen-acl-dengan-kemenangan/

Saingan ACL beri pengalaman berguna - Mora

Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my



ADAM Nor Azlin menghalang pemain Ratchaburi FC, Narakorn Noomchansakool pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.

Johor Bahru: Walaupun misi menamatkan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kemenangan tidak tercapai namun pengendali Johor Darul Ta'zim, Benjamin Mora tetap memuji semangat juang tinggi pemain yang terpaksa mengharungi jadual padat.

Beliau berkata, keputusan seri 0-0 dengan Ratchaburi FC pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok Thailand, malam tadi adalah adil tatkala kedua-dua pasukan mempamer aksi seimbang dan buntu mencipta jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.

Katanya, JDT sememangnya mahukan kemenangan pada aksi terakhir tapi apakan daya selepas segala usaha dilakukan namun terpaksa menerima hakikat hanya keputusan seri yang mampu diraih dan meraih satu mata.

"Apapun kami sudah beri persembahan terbaik dalam perlawanan itu terutama dari aspek pembangunan apabila memberi pendedahan buat pemain muda seperti Ariff Aiman (Hanafi) dan Ramadhan Saifullah (Usman) beraksi menentang kelab terbaik Asia.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu selesa kerana perlu memperbaiki keadaan kami sendiri dan memperbaiki corak permainan individu yang tampak belum mantap sepenuhnya malah ia bukan alasan sebaliknya ia sentiasa menjadi proses peningkatan.

"Tidak dinafikan corak permainan Ratchaburi FC kali ini berbeza selepas turun dengan membentuk lima pemain beraksi di posisi tengah pada tiga aksi lalu. Kami tahu mereka akan bermain cara begitu dan kami tampil dengan menguasai permainan tapi sukar untuk masuk ke kotak penalti kerana lawan bermain secara kompak," katanya.

Jelas Mora lagi, corak yang dipraktikkan skuad kendalian Sek-san Siripong menyukarkan barisan pemain JDT mencari ruang untuk melakukan percubaan yang boleh menjelmakan jaringan sebaliknya terpaksa bersilih ganti umpanan bola untuk memecahkan benteng lawan.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, pengendali kelahiran Mexico itu berkata, pemain akan menjalani proses pemulihan secukupnya sebaik pulang ke Johor Bahru dan akan kembali menjalani latihan bagi menyambung saingan Liga Super yang akan bermula 24 Julai ini.

"Liga Super akan kembali disambung dan persiapan akan diteruskan kerana ada misi yang kami mahu lakukan iaitu memburu kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut namun sebelum memulakan latihan kami perlu dikuarantin sebaik tiba di Johor.

"Apapun, kami tetap bangga untuk beraksi di pentas ACL musim ini tatkala meraih pengalaman terbaik sepanjang saingan itu malah langkah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) melaksanakan `kuarantin buble' diatur begitu sistematik," kata Mora.

Disiarkan pada: Julai 8, 2021 @ 10:47am.1

__________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/727909/saingan-acl-beri-pengalaman-berguna-mora

Kandas di ACL, TMJ pertahan Mora

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



BENJAMIN Mora menerima kritikan penyokon Harimau Selatan. FOTO FB Johor Southern Tigers

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus mempertahankan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora biarpun dikritik hebat penyokong setia skuad Harimau Selatan itu.

Kegagalan JDT melepasi peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand nyata mengundang rasa tidak senang peminat yang mendesak agar Mora dipecat.

Bagaimanapun, desakan itu tidak diendahkan Tunku Ismail yang juga pemilik JDT apabila menyoal mengapa tidak dirinya yang dipecat.

"Siapa lantik Mora? Saya...kenapa tiada orang suruh saya out (keluar dari JDT)? Saja nak tanya," katanya di laman Instagram untuk menjawab beberapa kritikan di media sosial.

Jelasnya lagi, semua pihak perlu berpijak di bumi yang nyata, di mana tahap saingan ACL cukup tinggi dan bukan mudah mana-mana kelab dari Malaysia untuk bersaing di peringkat itu.

Malah katanya, JDT adalah satu-satunya pasukan yang konsisten beraksi di ACL sejak tiga musim lalu dan ia penghormatan buat juara tujuh kali berturut-turut Liga Super itu untuk mengibar bendera negara di pentas Asia.

"Tahun ini sudah ada satu piala betul? Setiap tahun dari 2014 ada satu atau dua piala betul? Ini ACL. Kita pernah menang perlawanan ACL, kita seri, kita kalah.

"Lawan kelab Jepun kita pernah menang, lawan kelab Korea kita pernah menang. Sekarang tahap kita belum cukup tinggi untuk ACL. Tetapi untuk bersaing di ACL adalah satu penghormatan. Kita satu-satunya kelab dari negara ini main ACL.

"Bagus untuk ada cita-cita tetapi cita-cita dengan khayalan berbeza. Pertama sedar diri tahap kita kelab Malaysia, kedua baru bermimpi, ketiga jangan berputus asa dan terus perbaiki diri," katanya.

Pada saingan di Bangkok itu, JDT hanya sekadar menamatkan cabaran di tangga ketiga Kumpulan G dengan mengumpul empat mata daripada enam aksi.

Wakil negara itu hanya mampu mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Thailand, Ratchaburi FC pada aksi pertama sebelum diikat tanpa jaringan di aksi kedua dengan selebihnya tewas kepada kelab Korea Selatan, Pohang Steelers dan pasukan Jepun, Nagoya Grampus.

Untuk rekod, ini adalah penampilan ketiga Mora di ACL sejak membimbing skuad itu pada 2018 dengan kesemuanya gagal melepasi pusingan awal.

Disiarkan pada: Julai 8, 2021 @ 3:38pm.1

__________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/728021/kandas-di-acl-tmj-pertahan-mora 

Rabu, 7 Julai 2021

JOHOR DARUL TA'ZIM vs RATCHABURI

OLEH-AHMAD YAAKOB



JDT: Farizal Marlias (c), Matthew Davies, Safiq Rahim, Bergson da Silva, Leandro Velázquez, Shane Lowry, Ramadhan Saifullah, Azrif Nasrulhaq, Natxo Insa, Maurício, Arif Aiman Hanapi

Substitutes: Izham Tarmizi, Adam Nor Azlin, Afiq Fazail, Syamer Kutty Abba, S. Kunanlan, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid, Nazmi Faiz, Syafiq Ahmad, Firdaus Ramli

------

RAT: Kampol Pathom-Attakul, Nukoolkit Krutyai, Praweenwat Boonyong, Steeven Langil, Montree Promsawat, Kritsananon Srisuwan, Sébastien Wüthrich, Narakorn Noomchansakool, Kiatisak Jia-udom, Pathomchai Sueasakul, Pawee Tanthatemee (c)

Substitutes: Ukrit Wongmeema, Jakkapan Pornsai, Apiwat Pengprakon, Kasidech Wattayawong, Jirawat Thongsaengphrao, Sittichok Kannoo, Ekkalab Hanpanitchakul, Thanaset Sujarit, Sanrawat Dechmitr, Phakin Khamwilaisak

#JDTvRAT.1

____________________________________

1https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/

Selasa, 6 Julai 2021

JDT tetap ‘ghairah’ buru kemenangan



Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU: Biarpun sudah tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara (ACL), namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap bersemangat untuk menumpaskan Ratchaburi FC buat kali kedua hari ini, sekali gus menutup kempen di Bangkok dengan positif.

Ketua Jurulatihnya, Benjamin Mora menuntut aksi terbaik daripada anak-anak buahnya dan berjuang habis-habisan pada perlawanan terakhir Kumpulan G menentang pasukan tuan rumah itu bagi mengubati kekecewaan setelah mengharungi tiga perlawanan dengan kekalahan.

Katanya, JDT yang pernah menumpaskan Ratchaburi pada aksi kedua kumpulan merancang untuk mengulangi kejayaan itu biarpun tahu pasukan bimbingan Somchai Maiwilai itu mahu melakukan perkara yang sama bagi mengelakkan terus melekat di posisi tercorot.

BENJAMIN Mora dalam sidang akhbar di Bangkok hari ini.

Jika melihat aksi Ratchaburi dalam tiga perlawanan terdahulu, persembahan mereka menunjukkan peningkatan dan lebih berdaya saing menggalas misi memburu kemenangan pertama. Pastinya mereka akan memberi tentangan hebat pada perlawanan esok (malam ini).

Mereka juga gemar bertahan dengan meletakkan begitu ramai pemain di barisan pertahanan dan ini adalah cabaran buat pasukan untuk memecahkan benteng tersebut bagi membawa pulang tiga mata pada aksi terakhir kumpulan.

Kami wajib menang perlawanan itu bagi menamatkan saingan ACL dengan keputusan yang positif sekali gus merekodkan persembahan yang lebih baik berbanding tahun lalu dan 2019. Progres ini yang menjadi keutamaan kami yang bersaing dalam kejohanan di tahap tertinggi ini,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Ratchaburi di Stadium Rajamangala, Bangkok malam esok.

Dalam pertemuan dahulu, skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan tipis ke ats The Dragons hasil jaringan tunggal Leandro Velazquez yang menjaringkan gol menerusi sepakan gunting pada awal babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat JDT.

PEMAIN Ratchaburi menjalani latihan di Bangkok hari ini.

Dalam pada itu, kapten, Farizal Marlias mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak terlalu memandang rendah keupayaan pasukan tuan rumah setelah mencatatkan kemenangan tipis itu sebaliknya memberikan tumpuan penuh pada aksi terakhir esok.

Katanya, kejayaan lalu tidak memberi sebarang erti kerana ia adalah perlawanan yang berbeza selain kelab Thailand itu mempunyai beberapa pemain yang mampu menggugat JDT dan seharusnya dikawal ketat sepanjang perlawanan.

Perlawanan terakhir ini adalah penting buat kami dan saya berharap rakan sepasukan akan beraksi dengan lebih baik berbanding pertemuan terdahulu. Ini kerana lawan kita esok bukanlah pasukan yang lemah, mereka adalah pasukan yang bermain corak permainan pantas dan mempunyai kekuatan dari segi teknikal.

Jadi, kita tidak boleh pandang mereka sebelah mata. Sebaiknya, kita perlu mengikut segala perancangan rapi dan taktikal yang direncanakan oleh ketua jurulatih dan berjuang hingga titisan keringat terakhir,” ujarnya.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/jdt-tetap-ghairah-buru-kemenangan/