Isnin, 5 Julai 2021

JDT kalah tapi ‘game’ memuaskan



Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

5 Julai 2021, 4:25 pm

JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berpuas hati dengan aksi pemain yang kalah bermaruah selepas memberi tentangan hebat kepada Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G kempen Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand malam tadi.

Walaupun bolos dua gol awal jaringan Mateus Castro menerusi sepakan penalti pada minit ke-4 dan jaringan Hiroyuki Abe pada minit ke-28, Mora berkata, ia tidak membunuh semangat Harimau Selatan untuk mempamerkan kebangkitan.

Jelasnya, turun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama yang direhatkan, pemain yang diturunkan mempamerkan kesungguhan dan cuba bangkit mengatur serangan sehingga memperoleh gol pembukaan hasil jaringan Ramadhan Saifullah pada minit ke-42.

Saya amat gembira dengan semangat juang pasukan. Kami tidak merosot atau tunduk mengalah setelah dibolosi dua jaringan gol.

Kami sedar Nagoya adalah sebuah pasukan yang kuat, berada di kedudukan kedua dalam Liga-J ketika ini. Kami tahu ia akan menjadi sangat sukar.

Mereka mencuba sebaik mungkin, mereka memberi tekanan, berlari serta memiliki bola dan melaksanakan identiti kami,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.

Mora memberitahu, untuk mengawal kira-kira 55 minit permainan adalah pencapaian yang bagus bagi pasukan kerana corak permainan JDT berjaya dilaksanakan dan hanya memerlukan dua jaringan gol untuk penutup yang baik.

Saya rasa statistik akan menunjukkan kami menguasai dalam banyak situasi. Ia begitu sukar untuk melihat dua percubaan hanya mengenai palang, itu mungkin akan menjadi cerita yang berbeza.

Tetapi ini adalah bola sepak dan ini akan mendorong pasukan untuk terus berjuang melawan Ratchaburi dengan segala yang kami ada supaya kami mendapat tiga mata,” katanya.

Mora menambah, beberapa pemain yang direhatkan pada perlawanan itu akan pulih untuk perlawanan seterusnya menentang Ratchaburi FC pada Rabu ini.1

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/jdt-kalah-tapi-game-memuaskan/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan