Jumaat, 2 Julai 2021

Liridon sah tinggalkan Newcastle Jets

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi ketika beraksi di kelab Liga Australia, Newcastle Jets. FOTO Ihsan FB Liridon Krasniqi

Kuala Lumpur: Tempoh pinjaman tonggak naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dengan kelab Liga Australia, Newcastle Jets sah berakhir semalam.

Ia selepas Liridon sendiri memuatnaik status di laman Story Instagramnya dengan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab Newcastle Jets itu.

Jelas Liridon atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don oleh penyokong Malaysia, dia mengakui menjalani tempoh pinjaman yang cukup baik di negara itu sejak awal tahun ini.

Catatan Mat Don di Instagram story.

"Disebabkan kontrak pinjaman saya berakhir hari ini (semalam). Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih to Newcastle Jets untuk bulan yang penuh fantastik. Keluarga besar. Selamat maju jaya untuk musim mendatang, dari Matdon," tulisnya.

Untuk rekod, Liridon menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim lalu dan dipinjamkan ke Newcastle Jets sejak Januari lalu.

Sepanjang enam bulan di sana, pemain Harimau Malaya itu berjaya membuat sembilan penampilan di A-League itu sekali gus meningkatkan kembali prestasinya.

Difahamkan, bekas pemain Kedah dan Melaka United itu akan terus dipinjamkan buat kali kedua dan destinasi seterusnya kemungkinan di Liga Thailand.

Seperti mana yang pernah dinyatakan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini, pemain kelahiran Kosovo itu bakal dipinjamkan ke kelab Thailand yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ia adalah sebahagian perancangan JDT bagi mendedahkan pemainnya di tahap tertinggi selain memberi minit permainan buat Liridon.

Disiarkan pada: Julai 2, 2021 @ 9:23pm.1

____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/725649/liridon-sah-tinggalkan-newcastle-jets

Tiada ulasan:

Catat Ulasan