Isnin, 5 Julai 2021

Mora bangga semangat melawan JDT

Oleh Rizar Mohd Noor - Julai 5, 2021 @ 10:48am

rizar@mediaprima.com.my



Ramadan Saifullah (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Nagoya Grampus, Takuji Yonemoto pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi. Foto Ihsan Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Kesungguhan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki semangat melawan selepas tewas tipis 1-2 kepada Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL), di Stadiun Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi mendapat pujian pengendali, Benjamin Mora.

Malah beliau kagum dengan semangat juang tinggi pemain selepas mampu mengimbangi kekuatan kelab dari Jepun itu yang kini berada di tangga keempat Liga Satu Jepun (J1 League) yang berdepan kesukaran menembusi benteng JDT dengan hanya mampu mencipta dua gol pada babak pertama sahaja.

"Semangat juang pemain begitu tinggi dalam perlawanan itu dan ia membanggakan saya walaupun kami ketinggalan 0-2 namun pemain tidak panik sebalik berusaha bangkit dengan mengawal perlawanan dan cuba memburu gol.

"Kami lakukan rombakan kecil terhadap pemain utama supaya mereka pulih daripada kepenatan untuk aksi terakhir berdepan Ratchaburi FC dan apa yang saya bangga, pemain yang diturunkan menunjukkan persembahan terbaik pada aksi menentang kelab dari Jepun itu.

"Mereka beri yang terbaik apabila kerap berlari sambil mengawal perlawanan dan kerap beri tekanan terhadap lawan yang tampak tidak senang duduk untuk mengekang asakan pemain JDT malah kami agak kecewa selepas dua percubaan yang mampu menghadirkan gol sekadar singgah di palang gol," katanya.

Mora menganggap keupayaan pemain JDT mengawal permainan dalam tempoh 45 minit dan 50 minit perlawanan tatkala menentang kelab yang bereputasi tinggi adalah pencapaian terbaik buat skuad Harimau Selatan selepas tampil dengan taktikal dirancang.

Beliau menambah, persembahan dipamerkan itu nyata menguatkan lagi mental pemain untuk berdepan Ratchaburi FC pada aksi terakhir Rabu ini dan sememangnya sasaran utama pasti mahu tiga mata dalam perlawanan itu.

"Walaupun sudah tertutup peluang ke pusingan 16 terbaik, saya memberitahu pemain keputusan perlawanan bukan keutamaan mengenai apa yang perlu kita lakukan di padang, sebaliknya pemain harus bangkit dan buktikan keupayaa malah perlu bersaing dengan diri sendiri.

"Saya juga tekankan pemain harus bersikap konsisten dan mantap apabila beraksi di padang untuk terus berjuang dan hasilnya mereka mampu menyaingi kehebatan kelab dari Jepun dan ia beri kesan positif terhadap pemain," kata Mora.1

_______________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/835599/mora-bangga-semangat-melawan-jdt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan