Ahad, 4 Julai 2021

Nagoya Grampus akhiri kempen JDT

Rizar Mohd Noor - Julai 5, 2021 @ 12:17am

rizar@mediaprima.com.my



Corbin Ong (kiri) menghalang gerakan pemain Nagoya Grampus Hiroyuki Abe pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, sebentar tadi. - Foto Ihsan Johor Southern Tigers.

JOHOR BAHRU : Perjuangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) berakhir selepas tewas 2-1 di tangan Nagoya Grampus pada aksi kelima pusingan kedua Kumpulan G di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Walaupun tewas dan tersingkir daripada merebut slot ke pusingan 16 terakhir, skuad kendalian Benjamin Mora harus bangga dengan persembahan yang dipamerkan selepas mengundang kesukaran buat anak didik Massimo Ficcadenti melakar kemenangan dalam perlawanan itu.

Pada pertembungan itu, Mora mempertaruhkan Ahmad Hazwan Bakri dan penjaga gol, Haziq Nadzli buat pertama kali beraksi dalam saingan ACL sambil meletakkan Syamer Kutty Abba, Leandro Velazquez dan Nazmi Faiz Mansor mengemudi bahagian tengah.

Belum sempat anak didik Mora menyesuaikan diri, Nogaya Grampus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ketiga selepas Adam Nor Azlin menjatuhkan Mateus Castro.

Matues yang mengambil sepakan itu merembat kencang ke penjuru kiri ketika Haziq merebahkan badan ke sebelah kanan.

Tersentap dengan gol awal itu, JDT mula melancarkan serangan ke kubu Nagoya Grampus tetapi belum mampu untuk memecah kekebalan benteng lawan.

Nagoya sebaliknya menambah jaringan menerusi Hiroyuki Abe pada minit ke-28.

Percubaan terbaik JDT hadir pada minit ke-38 selepas Velazquez yang menerima bola umpanan Ramadhan Saifullah Usman pantas merembat bola dari luar kotak penalti tetapi penjaga gol, Mitchell Langerik pantas menepis bola.

Ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit, gawang Nagoya Grampus yang belum dibolosi sepanjang empat aksi lalu akhirnya dirobek Ramadan Saifullah.

Bersambung babak kedua, JDT hampir menyamakan jaringan pada minit ke-61 selepas Adam melorongkan bola tepat kepada Velazquez yang bertindak merembat bola kencang tetapi palang menjadi penghalang ketika Langerik sudah tertewas.

JDT tidak mengendahkan reputasi Nagoya Grampus, sebaliknya berusaha memburu gol penyamaan namun percubaan terakhir Velazquez menerusi bola sepakan percuma pada minit akhir sekadar terkena benteng lawan.1

_________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/835521/nagoya-grampus-akhiri-kempen-jdt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan