Sabtu, 3 Julai 2021

JDT idam curi mata dari Nagoya

Oleh Rizar Mohd Noor - Julai 3, 2021 @ 4:59pm

rizar@mediaprima.com.my



Pemain JDT meneruskan sesi latihan bagi membuat persiapan menentang Nagoya Grampus oada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam esok.

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengakui faktor keletihan pemainnya menjejaskan rentak permainan, namun dia tidak mahu ia dijadikan alasan apabila menentang Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam esok.

Malah, dia juga perlu membuatkan rombakan kesebelasan utama selepas kehilangan khidmat Shane Lowry, Matthew Davies, Aiman Ariff Hanapi dan Afiq Fazail selepas mereka mengutip dua kad kuning namun lega apabila kelibat Mauricio Dos Santos kembali menguatkan benteng pertahanan dan Leandro Velazquez kembali menguatkan posisi tengah.

"Memang tidak dinafikan pemain begitu keletihan menempuh jadual padat, malah bukan itu sahaja kami perlu berada di hotel penginapan dan tidak dibenarkan keluar untuk beriadah, sebaliknya hanya keluar dari hotel penginapan ke pusat latihan.

"Senario itu bukan mudah untuk minda setiap pemain yang mahukan ketenangan kerana ia nyata mengganggu emosi mereka, namun kami perlu menyesuaikan keadaan dan meneruskan latihan bagi persiapan berdepan kelab dari Jepun itu.

"Walaupun hanya menang satu perlawanan namun corak permainan pada empat aksi lalu memuaskan apabila kami mampu beri saingan dan membuat pasukan lawan berdepan kesukaran sebelum menewaskan kami," katanya.

Mora berkata, aksi menentang skuad bimbingan Massimo Ficcadenti tetap sukar selepas pasukan itu mengekalkan rekod bersih empat perlawanan tanpa kalah namun akan cuba sedaya upaya untuk mencuri mata dalam perlawanan itu.

"Untuk saingan ACL walaupun kami sudah tiga musim beraksi namun kami masih lagi menimba pengalaman berbanding kelab-kelab dari Jepun dan Korea Selatan yang sudah lama beraksi dalam saingan ini.

"Jadi, kami kena bersedia dalam setiap perlawanan terutama Nagoya Grampus akan tampil agresif untuk mencari kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan 16 dan kami akan berusaha beri tentangan sengit," kata Mora.Sementara itu, Velazquez yang akan kembali dalam kesebelasan utama selepas diketepikan ketika aksi menentang Pohang Steelers, Khamis lalu berazam untuk bangkit daripada kekecewaan dan mempamer aksi bertenaga.

"Ketika aksi pertama menentang Nagoya Grampus 22 Jun lalu, kami mampu mengimbangi kekuatan pasukan itu dan mereka agak sukar untuk mendominasi perlawanan malah hanya mampu jaringkan satu gol sahaja," kata Velazquez.1

_______________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/835147/jdt-idam-curi-mata-dari-nagoya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan