Jumaat, 2 Julai 2021

Kami sudah lakukan segala-galanya – JDT



BENJAMIN MORA

Oleh Meja Sukan

3 Julai 2021, 10:45 am

JOHOR BAHRU: Perjalanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Kumpulan G kempen Liga Juara-juara Asia (ACL) berakhir apabila tewas sekali lagi di tangan Pohang Steelers, kali ini dengan jaringan 0-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand kelmarin.

Keputusan tersebut menyak­sikan wakil tunggal negara dalam kejohanan itu merekodkan tiga kekalahan dari empat perlawanan dan mengutip tiga mata setelah hanya mencatatkan kemenangan ketika menentang pasukan tuan rumah, Ratchaburi FC, minggu lalu.

Sekalipun JDT menang dua baki perlawanan menentang Nagoya Grampus dan Ratchaburi manakala Steelers pula tewas dalam dua aksi terakhir, ia tidak mengubah kedudukan kerana kelab Korea Selatan itu lebih cemerlang mengikut keputusan rekod pertemuan (head to head) apabila menang kedua-dua perlawanan menentang JDT.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora terpak­sa akur dengan kehebatan juara tiga kali kejohanan antarabangsa itu apabila menjadi pasukan yang lebih baik pada pertemuan berkenaan.

Mora berkata, pada awal babak permainan anak buahnya beraksi dengan cukup baik apabila mampu memberikan tentangan hebat terhadap pasukan lawan sehinggalah dibolosi gol pertama jaringan Lee Seung-Mo pada minit ke-33.

Jaringan tersebut sedikit se­banyak merentap emosi dan mental pemain yang bermula dengan baik setelah sepak mula. Pasukan kami dihukum hanya kerana melakukan satu kesila­pan yang kecil.

Kami cuba bangkit dengan bermain lebih ofensif, menggandakan asakan ke arah kubu lawan serta memperbanyak se­rangan menerusi bahagian sayap. Kami juga membuat pertukaran bagi membawa masuk pemain yang lebih bertenaga dan bersemangat bagi memperkuatkan bahagian.

Kami sudah melakukan segala-galanya termasuk bermain hantaran jauh, namun semuanya tidak membuahkan hasil. Apa-apa pun, tahniah diucapkan buat Pohang, mereka adalah pasukan yang lebih baik pada malam ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, Seung-Mo membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi rembatan kaki kanannya sebelum Kang Sang-Woo menambah derita buat JDT apabila meledak gol kedua perlawanan pada minit ke-37.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/kami-sudah-lakukan-segala-galanya-jdt/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan