Ahad, 25 Disember 2016

JDT berjaya ikat Ferreira, Cabrerra

AHAD, 25 DISEMBER 2016 @ 12:26 AM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
 
BRIAN Ferreira (kiri), Gonzalo Cabrerra KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudahpun menandatangani dua pemain import bagi memantapkan lagi barisan pemain pasukan itu dalam usaha mempertahankan kejuaraan liga pada musim hadapan.

Menerusi akaun rasminya Johor Southern Tigers, pengendali pasukan itu, Mario Gomez mengesahkan mereka sudah menandatangani dua pemain import untuk JDT sementara satu lagi penyerang untuk memperkukuh jentera serangan JDT II.

"Kami melepaskan beberapa pemain senior kami dan telah menandatangani beberapa pemain muda yang menarik dan berpotensi untuk memperbaiki dan menambahkan semangat baru serta persaingan dalam pasukan.

"Untuk itu, kami sudah menandatangani pemain muda berusia 24 tahun yang pernah diintai Porto dan Manchester United, Brian Ferreira yang kini beraksi bersama Indipendiente dan pernah juga bermain untuk skuad Bawah-21 tahun Argentina.

"Kami membuat tawaran dan berbincang secara mendalam mengenai matlamat dan projek kami. Dia akhirnya membuat keputusan untuk menyertai JDT terutamanya selepas mengetahui legenda bola sepak Argentina seperti Luciano Fegueroa dan Pablo Aimar pernah beraksi di sini.

 "Pemain import kedua adalah Gonzalo Cabrerra yang pernah bermain untuk Boca Juniors dan kini bermain di kelab Arab Saudi yang dilihay adalah seorang pemain yang berkualiti dan berpengalaman yang mana ianya penting buat pasukan.

"Selain itu, kami berjaya mendapatkan Gabi Guerra dari Boca Juniours dan dia tidak asing di sini memandangkan pernah beraksi buat PKNS sebelum ini. Dia akan beraksi di JDT II dan jika prestasinya berada pada tahap yang baik, dia ada peluang untuk membarisi skuad utama," katanya.

Dalam masa sama, pasukan Harimau Selatan itu juga sedang mengintai seorang lagi pemain import dan hanya akan dimaklumkan selepas semua urusan perpindahan berjaya diselesaikan.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/226996

Khamis, 22 Disember 2016

Hazwan Bakri kini sah milik JDT

ISNIN, 12 DISEMBER 2016 @ 11:03 PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my HAZWAN Bakri. - Foto Hairul Anuar Rahim KUALA LUMPUR: Desas desus perpindahan ayam tambatan Selangor, Ahmad Hazwan Bakri akhirnya terjawab apabila dia sah menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk musim depan. Hazwan yang juga penyerang utama skuad Harimau Malaysia mengikat kontrak selama dua tahun bersama JDT.

 Pengarah agensi dan bakat MVP Sports Agency yang juga ejen Hazwan, Hafizan Halim mengesahkan berita perpindahan yang sangat ditunggu seluruh peminat JDT itu. "Proses perpindahan itu sepatutnya dilakukan hari ini, tapi memandangkan semua pejabat termasuk JDT bercuti, proses itu terpaksa dilaksanakan esok.

 "PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor) dan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) akan bersemuka esok untuk menyelesaikan beberapa proses akhir dokumen perpindahan itu," katanya Hafizan ketika dihubungi, hari ini. Berita perpindahan itu pastinya bukan satu kejutan kerana pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini sudah menjelaskan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada FAS untuk mendapatkan Hazwan. Hazwan adalah pemain Selangor kedua yang menyertai skuad Harimau Selatan selepas berakhir musim ini apabila JDT terlebih dahulu mengikat pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor.

Terdahulu, JDT menerusi laman Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers hari ini memuatkan naik gambar Tunku Ismail bersama Hazwan berserta kenyataan ringkas: "Selamat datang Hazwan Bakri. Luaskan Kuasamu Johor." Bagaimanapun, Hazwan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perpindahannya ke kelab gergasi Liga Malaysia itu.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223204

Ahad, 11 Disember 2016

Nilai Nazrin, Jasazrin RM1.5j

12 Disember 2016 12:25 AM
 Jasazrin JAMALUDDIN (kanan) akan menyertai Perak bersama Nazrin
Jasazrin Jamaluddin (kanan) akan menyertai Perak bersama Nazrin Nawi.
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mendedahkan, dua pemain mereka yang dilepaskan kepada Perak iaitu Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin bernilai RM1.5 juta.
JDT dalam Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers (JST) berkata, harga tersebut diletakkan kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dalam perbincangan kedua-dua pihak, sebelum mereka bersetuju untuk merendahkannya.
Juara Piala AFC 2015 itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa harga yang akhirnya dipersetujui, sebaliknya me­ngucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pemain te­ngah berkenaan.
“Pihak pengurusan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim telah bersetuju untuk melepaskan dua pemain kami iaitu Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin dengan harga untuk kedua-dua pemain tersebut adalah RM1.5 juta.
“Selepas berbincang dengan pihak Persatuan Bola Sepak Perak, kami bersetuju untuk mengurangkan harga tersebut dan melepaskan mereka pada Selasa ini kepada Pafa.
“Kami juga telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak penyerang kami, Amri Yahyah yang telah tamat dan turut akan melepaskan pemain tersebut.
“Saya mewakili seluruh keluarga JDT ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada tiga pemain ini yang telah membantu kejayaan kelab selama ini. Selamat maju jaya,” kata Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards.
Bekas bintang penyerang Se­langor, Amri, 35, hampir pasti akan me­nyertai Melaka United dan rundingan akhir dengan skuad Sang Kancil dijangka dicapai dalam pertemuan kedua-dua pihak esok.
Nazrin, 28, pula ber­aksi Negeri Sembilan dari 2012 hingga 2013 sebelum me­nyertai JDT pada 2014. Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu yang pernah membuat sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan sebelum ini turut me­nyarung jersi UPB-MyTeam, KL Plus dan Kuala Lumpur.
Jasazrin, 30, yang membina karier bersama Johor pernah beraksi sekali buat Harimau Malaysia.
Selain tiga pemain ber­kenaan, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali turut dikaitkan bakal meninggalkan JDT, dengan Pulau Pinang dikatakan menjadi destinasi baharunya.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nilai-nazrin-jasazrin-rm1-5j-1.418969#sthash.e3Mn6FPa.dpuf

Rabu, 7 Disember 2016

Johor FC tanpa dua tonggak hadapi Melaka

ARKIB : 31/08/1999
PASUKAN Johor FC akan turun tanpa dua tonggak iaitu Ketua Pasukan, Zainuddin Yassin dan penyerang, Anuar Abu Bakar dalam perlawanan play-off, menentang Melaka di Stadium Kubu, Melaka, malam ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatihnya, Bruce Stowell berkata, Zainuddin mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki dan tidak dapat turun berlatih sejak perlawanan menentang Perak, minggu lalu.

Katanya, Anuar juga tidak dapat beraksi menentang Melaka kerana demam sejak empat hari lalu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pihaknya kini mengharapkan bekas penyerang Sarawak, Shamsurin Abdul Rahman yang berasal dari Melaka untuk membawa cabaran Johor FC.

Selain Shamsurin, katanya, Johor FC juga akan menurunkan penyerang, S. Karthigesan yang sebelum ini mengalami kecederaan dan berharap pemain itu dapat bertahan untuk tempoh permainan selama 90 minit.

Johor FC kini menduduki tangga terbawah tanpa sebarang mata setelah tewas kepada Terengganu dan juga Perak dan sekiranya berjaya menumpaskan Melaka, Johor FC masih mempunyai peluang.

Ini memandangkan selain Melaka yang telah mengutip 6 mata, pasukan-pasukan lain dalam Kumpulan B itu, Terengganu dan Perak kini mengutip 3 mata.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S9nCIvrY © Utusan Melayu (M) Bhd

Johor FC bersemangat walaupun kalah

ARKIB : 24/08/1999
JOHOR FC masih bersemangat walaupun kalah 4-0 kepada Terengganu dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Malaysia kumpulan B, Sabtu lepas.

Kelab dari Johor itu akan bertemu juara Piala Malaysia, Perak, dalam perlawanan keduanya di Stadium Pasir Gudang malam ini dan jurulatih Bruce Stowell mengharapkan satu keputusan yang membanggakan.

''Kekalahan dengan Terengganu bukan bermakna perjuangan kami sudah berakhir. Moral pasukan masih tinggi. Kita perlukan kemenangan selepas ini akan berusaha ke arah itu.

''Kita perlu memperbaiki segalanya. Untuk menang, kita juga perlu perkuatkan kedudukan di semua posisi,'' kata Stowell, yang mengharapkan kemenangan pertama sebagai jurulatih baru Johor FC.

Jurulatih Australia itu dilantik menggantikan Ronald Smith, yang kini pengarah kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Johor FC menduduki tempat kelima Perdana Dua di bawah Smith tahun lepas. Tahun ini mereka menduduki tempat ketiga di belakang juara, Johor, dan naib juara, Selangor.

Stowell mengakui Johor FC perlu memperbaiki beberapa kelemahan. Beliau telah berusaha ke arah itu sejak pulang dari Kuala Terengganu, Ahad lepas.

Beliau gembira kerana Johor FC bertemu awal dengan Perak kerana ia tidak akan memberi peluang kepada pemain berfikir lama mengenai kekalahan dengan Terengganu, sebaliknya berfikir tentang perlawanan hari ini.

''Saya memberitahu mereka supaya melupakan kekalahan itu. Sebenarnya kita bermain baik dengan Terengganu pada separuh masa pertama. Bagaimanapun kita memberikan gol mudah dan gagal pulih selepas itu.''

''Kita perlu bertindak cepat dengan kekalahan itu dan saya yakin para pemain boleh melakukannya. Saya mengharapkan persembahan lebih baik dalam perlawanan menentang Perak. Ia sebuah pasukan handal, tetapi kita perlu yakin,'' kata Stowell.

Perak juga tertekan dan perlukan kemenangan daripada perlawanan ini selepas kalah 1-2 kepada Melaka dalam perlawanan pertama mereka di Stadium Kubu. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S8mrZmZ9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 November 2016

Sejarah 20 tahun berulang lagi -- Skuad Smithterus gagal penalti

ARKIB : 18/04/1999
SEJAK 20 tahun lalu, pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Ronald Smith tidak pernah bernasib baik apabila perlawanan bola sepak berkesudahan dengan tendangan penalti.

Keadaan itu berulang lagi pada perlawanan malam kelmarin apabila Johor FC terpaksa mengaku kalah kepada Selangor 3-4 setelah perlawanan sepenuh masa berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.

Smith berkata, kemenangan perlawanan yang ditentukan melalui tendangan penalti adalah kurang adil dan ia lebih banyak bergantung pada nasib sesebuah pasukan.

Beliau yang ditemui, berkata, pihaknya lebih menerima keputusan perlawanan sekiranya kemenangan sesebuah pasukan itu ditentukan melalui jaringan emas.

"Sebagai jurulatih, tumpuan biasanya diberikan kepada persembahan dan strategi tetapi apabila terpaksa berhadapan dengan sepakan penalti, ia adalah satu perkara yang berbeza," katanya.

Menyingkap sejarah kekalahannya dalam sepakan penalti, katanya, ia bermula pada tahun 1979 di Iceland, begitu juga semasa menjadi jurulatih untuk pasukan Sabah pada tahun 1995 bila Sabah tewas kepada Pahang pada peringkat separuh akhir dan perlawanan ditentukan melalui penalti.

Begitu juga semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 1996 apabila Sabah terpaksa mengaku kalah kepada Selangor juga dengan tendangan penalti.

Beliau juga memberitahu, sepuluh mata yang boleh diperoleh melalui tendangan penalti membawa banyak perbezaan untuk sesebuah pasukan dan contoh terbaik ialah Selangor yang setakat ini mendapat tiga mata dan mampu melonjakkan pasukan itu berada di tangga teratas.

Pada sepakan penalti itu gol-gol pasukan Selangor dijaringkan oleh Assrof Hanafiah, K. Sanbagamaran, Kamarulzaman Yob Majid dan Zainal Abidin Hassan manakala gol-gol Johor FC menerusi Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar, Hamzani Omar dan Shukri Ismail.

Dengan kemenangan itu Selangor kini mengumpul 16 mata sementara Johor FC 14.

SUMBER- ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 17/04/1999

Selasa, 29 November 2016

Giliran Johor FC kuasai Perdana Dua

ARKIB : 03/04/1999
Giliran Johor FC kuasai Perdana Dua
JOHOR FC merampas tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua selepas menewaskan TNB Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Kejayaan skuad bimbingan Ronald Smith itu dibantu dengan kegagalan pendahulu liga sebelum ini, Selangor yang hanya mengutip satu mata selepas tewas kepada Perlis di Stadium Utama, Kangar menerusi penalti 4-3 selepas kedudukan 90 minit berakhir seri 3-3.

Gol-gol Johor FC dijaringkan oleh S. Ahmad Riduan pada minit ke-30 dan Azmi Ariffin minit ke-53 manakala gol TNB Kelantan dihasilkan oleh Ruzlan Ismail minit ke-27.

Selangor mendahului 3-2 menerusi dua jaringan S. Paidiya Rau (minit ke-12 dan 66) dan S. Sivaram pada minit ke-65 tetapi Mohd. Fuad Mohd. Nor menyamakan kedudukan 3-3 pada masa kecederaan. Dua lagi gol Perlis disumbat masuk oleh Khairi Zamri Rashid pada minit ke-36 dan 60.

Di Stadium Kubu, Melaka bangkit daripada kekalahan teruk di tangan Selangor minggu lalu apabila menumpaskan NS Chempaka 4-2.

Pasukan tuan rumah mengejutkan pasukan pelawat seawal minit ke-9 menerusi Sri Jaafar A. Rahman sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Yushafizan Johar tiga minit kemudian.

Melaka kembali di depan seminit selepas babak kedua bermula hasil tandukan Abdul Karim Rahman tetapi NS Chempaka sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Khaidir yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain Melaka, K. Rajan melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Sri Jaafar sekali lagi menjaringkan gol untuk Melaka pada minit ke-65 sebelum selang dua minit kemudian, Abdul Karim mengesahkan tiga mata penuh milik skuad Kancil dengan jaringannya untuk menjadikan kedudukan muktamad 4-2.

Kelantan turut melebarkan rekod tanpa kalah apabila mengalahkan Tentera 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol Kelantan dijaringkan oleh Tan Cheng Hoe pada minit kelima dan Zainuddin Ariffin minit ke-25 manakala gol tunggal Tentera dihasilkan oleh V. Sivam pada minit ke-87.

Sementara itu, perlawanan antara Johor FC menentang Telekom Melaka di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin terpaksa ditunda ke hari ini berikutan bekalan elektrik terputus.

Menurut jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB), bekalan elektrik di stadium itu terputus sejak pukul 7.20 malam disebabkan oleh masalah teknikal dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan.

Perlawanan akan diadakan pada pukul 8.30 pagi ini dan orang ramai yang telah membeli tiket boleh menggunakan tiket yang sama untuk menonton perlawanan itu di Stadium Larkin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RPWxCPp5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 17 November 2016

Pemain Johor DT bagai ‘pisang goreng panas’

 
 TUNKU ISMAIL 
PARA pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) bagai ‘pisang goreng panas’ ekoran kira-kira 15 hingga 20 pemain juara tiga kali Liga Super itu menerima tawaran gaji bulanan yang lumayan mencecah RM150,000 daripada pasukan lain untuk aksi Liga Malaysia musim depan.

Pemilik kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya menjangkakan ramai pemain Johor DT bakal meninggalkan kelab itu disebabkan tawaran tersebut.

Titah baginda, Johor DT tidak menghalang mana-mana pemain sekiranya mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada kelab lain termasuk Pahang, Melaka United dan Felda United yang mengeluarkan peruntukan banyak.

“Pemain pertama yang hendak berhijrah adalah Nazrin Nawi, Melaka (United) tawarkan sehingga RM80,000. Sela­ngor nak bayar Amri (Yahyah) RM150,000, Safee (Sali) terima tawaran daripada Pulau Pinang RM75,000.

“Aidil (Mohd. Ai­­dil Zafuan Abd. Radzak) pula ditawarkan RM56,000 terma­suk adiknya,” titah ba­ginda yang dimuat naik dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers semalam.

Tunku Ismail bertitah, Aidil dan Mohd. Zaquan Adha juga cuba ‘dipancing’ pasukan Pahang yang menawarkan jumlah RM56,000 secara ber­asingan sekiranya bersetuju untuk menyertai skuad Tok Gajah.

Mengenai pemain import Johor DT, Tunku Ismail bertitah, Juan Martin Lucero dan gandingannya Jorge Pereyra Diaz turut tidak terikat dengan kelab itu dan mereka boleh mempertimbangkan sekiranya mendapat tawaran yang lebih baik daripada pihak lain.

“Mereka (Lucero dan Diaz) boleh berpindah ke kelab lain sekiranya mendapat tawaran yang lebih baik.

“Biarpun mereka merupakan antara pemain yang paling banyak menyumbang jasa kepada kelab ini, bagaimanapun keputusan di tangan mereka.

“Kelab tidak akan membe­lanjakan lebih daripada kemam­puan berikutan tidak mahu me­nanggung kesusahan seperti gagal melunaskan gaji pemain sekiranya berbelanja lebih daripada kemampuan,” titah ba­gin­da.

Tunku Ismail turut bertitah, setakat ini, kontrak kapten, Safiq Rahim dilanjutkan sehingga tahun 2019.

Berhubung dengan jumlah tajaan yang diterima Johor DT daripada syarikat pengeluar peralatan sukan Nike, Tunku Ismail bertitah, ia merupakan antara termahal di negara ini.

“Johor DT akan sentiasa memberi keuntungan kepada penaja. Johor DT telah membuktikan ia merupakan sebuah kelab terbaik di Asia Tenggara selain Persib Bandung dari Indonesia dan Buriram United dari Thailand,” titah baginda.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4QL1Gc4w4 Hakcipta terpelihara

Sabtu, 22 Oktober 2016

Harapan JDT pertahan Piala AFC musnah

19 Oktober 2016 11:50 PM

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Harapan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mempertahankan Piala AFC berkecai apabila mereka tumpas 3-1 kepada JSW Bengaluru dalam perlawanan separuh akhir kedua di Bangalore, India sebentar tadi.
JDT
Walaupun mendahului 1-0 awal menerusi tandukan jarak dekat Safiq Rahim ketika permainan berusia 11 minit namun JDT kemudian dibolosi oleh dua jaringan Sunil Chhetri dan Juan Antonio Fernandez untuk memastikan tuan rumah menang dengan agregat 4-2 setelah seri 1-1 di Johor Bahru pada 28 September lalu. – UTUSAN ONLINE

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 19 Oktober 2016

Rabu, 19 Oktober 2016

KEPUTUSAN MASA PERTAMA JSW BENGALURU FC 1-1 JOHOR DT

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Bengaluru 1-1 Johor DT
m-40 Sunil     m-11 Safiq Rahim
PEMAIN JOHOR DT
24 IZHAM TARMIZI
02 AZAMUDDIN AKIL
03 AZRIF NASRULHAQ
15 FAZLY MAZLAN
05 AMIRUL HADI
06 MARCOS ANONIO
07 AIDIL ZAFUAN
08 SAFIQ RAHIM
10 SAFEE SALI
14 HARRIS HARUN
12 S.KUNALAN

PEMAIN GANTIAN

JSW BENGALURU FC 1-1 JOHOR DT

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Bengaluru 1-1 Johor DT
m-40 Sunil     m-11 Safiq Rahim
PEMAIN JOHOR DT
24 IZHAM TARMIZI
02 AZAMUDDIN AKIL
03 AZRIF NASRULHAQ
15 FAZLY MAZLAN
05 AMIRUL HADI
06 MARCOS ANONIO
07 AIDIL ZAFUAN
08 SAFIQ RAHIM
10 SAFEE SALI
14 HARRIS HARUN
12 S.KUNALAN
PEMAIN GANTIAN

JSW BENGALURU FC 0-1 JOHOR DT

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Bengaluru 0-1 Johor DT
                         m-11 Safiq Rahim
PEMAIN JOHOR DT
24 IZHAM TARMIZI
02 AZAMUDDIN AKIL
03 AZRIF NASRULHAQ
15 FAZLY MAZLAN
05 AMIRUL HADI
06 MARCOS ANONIO
07 AIDIL ZAFUAN
08 SAFIQ RAHIM
10 SAFEE SALI
14 HARRIS HARUN
12 S.KUNALAN

PEMAIN GANTIAN

JSW BENGALURU FC 0-0 JOHOR

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB DT
Bengaluru Johor DT
PEMAIN JOHOR DT
24 IZHAM TARMIZI
02 AZAMUDDIN AKIL
03 AZRIF NASRULHAQ
15 FAZLY MAZLAN
05 AMIRUL HADI
06 MARCOS ANONIO
07 AIDIL ZAFUAN
08 SAFIQ RAHIM
10 SAFEE SALI
14 HARRIS HARUN
12 S.KUNALAN

PEMAIN GANTIAN

Izham tagih aksi mantap pemain Harimau Selatan

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
19 OKTOBER 2016
 Izham Tarmizi Roslan
Izham Tarmizi Roslan Izham giat berlatih bersama rakan sepasukan Farizal Marlias menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala AFC, malam ini. - Foto : FB JOHOR Southern Tigers
PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan mahu rakan sepasukannya memberi kerjasama yang tinggi untuk membolehkan  mereka melakar kemenangan ketika berdepan Bengaluru pada separuh akhir kedua Piala AFC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore malam ini.

Izham berkata, komitmen kesebelasan pemain skuad Harimau Selatan amat ditagih  supaya dapat menyajikan aksi terbaik ketika berdepan pasukan bimbingan Albert Roca itu nanti.

“Kerjasama berpasukan akan menjadi kekuatan utama kami untuk bangkit memburu kemenangan sekali gus mara ke final.

“Apa yang kami lakukan dalam sesi latihan, saya lihat rakan sepasukan dalam motivasi yang baik.

“Oleh itu, rasanya tiada masalah untuk kami bermain nanti dan saya yakin kita mampu menewaskan mereka,” katanya.

Selain itu, Izham bertekad memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi pada pertemuan tersebut andai diberi kepercayaan oleh jurulatih.

“Kami terlepas peluang memburu kemenangan selesa selepas seri 1-1 separuh akhir pertama tempoh hari sekali gus beri kelebihan kepada Bengaluru selepas memiliki gol di tempat lawan.

“Saya akui ia perlawanan  agak sukar, tapi kami harus ketepikan kelebihan itu dengan memberi tentangan sengit.

“Saya janji akan berusaha untuk mengunci gawang dari dibolosi dengan harapan pemain lain akan membantu dengan memberi aksi 100 peratus di padang,” ujarnya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 19 OKTOBER 2016

Johor DT hanya mahu menang

DIAZ akan terus diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Johor DT pada aksi menentang Bengaluru FC malam ini.

SKUAD Johor Darul Takzim (Johor DT) tiada pilihan lain kecuali menang pada aksi separuh akhir kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 menentang wakil India, Bengaluru FC di Stadium Sree Kanteeraya, Bangalore malam ini.

Kedua-dua pasukan kini terikat dengan agregat 1-1 hasil keputusan perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin pada 28 Ogos lalu.

Andai seri tanpa jaringan pada aksi kedua ini, hasrat Johor DT untuk mara akan musnah kerana pasukan lawan mereka itu memiliki kelebihan jaringan di ge­langgang lawan.

Perlawanan malam ini ibarat detik penentuan buat skuad Harimau Selatan itu yang merupakan juara bertahan Piala AFC selepas menewaskan kelab Tajikstan, Istiklol 1-0 pada final di Stadium Pamir, Dushanbe tahun lalu.

Walaupun menyedari tugas mereka di gelanggang lawan itu agak berat tetapi jurulatih, Mario Gomez belum mahu menyerah.

Jurulatih yang berasal dari Argentina itu tetap yakin skuad kendaliannya mampu meraih kemenangan.

“Kami mahukan kemena­ngan pada perlawanan malam esok (malam ini). Biarpun kita tahu laluan buat pasukan agar sukar selepas sekadar seri 1-1 pada aksi pertama tempoh hari tetapi saya tetap yakin anak-anak buah saya mampu melakukan kejutan.

“Saya yakin mereka akan bermain bermati-matian untuk memenangi perlawanan separuh akhir kedua itu nanti, sekali gus melayakkan diri ke perlawanan akhir,” kata Gomez ketika dihubu­ngi semalam.

Gomez memberitahu, barisan pemain yang akan diturunkan pada malam ini adalah yang terbaik termasuk dua penyerang dari Argentina yang akan mengetuai jentera serangan.

“Tentunya Juan Martin Lucero dan Diaz akan diturunkan selain bahagian pertengahan yang akan dikendalikan oleh Safiq Rahim, manakala bahagian pertahanan akan dibarisi pemain seperti Marcos Antonio,” katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4NWLTlJYL Hakcipta terpelihara

'Kalau boleh nak gol lebih...'

 
GOMEZ
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Percaturan taktikal ampuh menjadi taruhan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk memburu kemenangan apabila berdepan Bengaluru FC pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, India, malam ini.

Pengendali skuad Harimau Selatan Mario Gomez menyifatkan dalam permainan bola sepak tiada yang mustahil dan jika pemain beraksi mengikut strategi serta taktikal dirancang maka tiada masalah untuk mencipta kemenangan walaupun beraksi di tempat lawan.


Katanya, biarpun tanpa kelibat dua tonggak utama, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero di posisi serangan termasuk Mohd Amri Yahyah selepas ketiga-tiga pemain itu digantung satu perlawanan, senario itu tidak menjejaskan perancangan yang dibuat rapi sejak seminggu lalu.

“Ada baki 90 minit yang menjadi penentu kemaraan kami, jadi saya anggap kedudukan masih 0-0 walaupun kita mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di laman sendiri, 28 September lalu dan saya percaya pemain sudah bersedia untuk aksi kali ini.

“Rombakan akan dilakukan terutama di posisi serangan apabila Safee Sali akan bertindak selaku penyerang dan kemungkinan dibantu Safiq Rahim atau Mohd Azinee Taib. Siapa yang akan diturunkan akan diputuskan sebelum perlawanan malam ini.

“Walaupun kelebihan tampak memihak Bengaluru FC yang memiliki jaringan di tempat lawan, kami perlu hanya satu gol saja untuk melangkah ke pentas final. Tapi kalau boleh saya ingin menang dengan lebih daripada satu gol,” katanya.

Kehadiran semula pemain bek kanan, S Kunanlan dalam skuad itu selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan nyata melegakan Gomez bagi memastikan benteng pertahanan kembali mantap menerusi gandingan Marcos Antonio, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhd Fazly Mazlan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:53 AM


Selasa, 18 Oktober 2016

Tak rela gawang bolos

 IZHAM enggan ulangi kesilapan lalu.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Izham Tarmizi Roslan tidak rela gawangnya dibolosi apabila berdepan Bengaluru pada separuh akhir kedua Piala AFC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, Rabu ini.

Bagaimanapun, Izham tidak menolak pertembungan dengan kelab dari India itu tampak begitu sukar kerana beraksi di gelanggang lawan yang dianggap begitu getir.

Jelasnya, walaupun pernah menewakan Bengaluru 1-0 pada peringkat kumpulan sebelum ini, ia cerita ketika pasukan itu dibimbing oleh jurulatih Ashley Westwood namun pasukan itu tampak lebih mantap apabila berada di bawah bimbingan Albert Roca.

“Kami terlepas peluang memburu kemenangan selesa selepas diikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Larkin, 28 September lalu dan kelebihan memihak Bengaluru selepas menjaringkan gol di tempat lawan.

“Saya akui ia perlawanan yang agak sukar buat Johor DT yang bertandang ke gelanggang lawan namun kami harus ketepikan kelebihan yang memihak Bengaluru sebaliknya perlu memberi tentangan sengit pada aksi yang menjadi penentu untuk memburu pentas final.

“Kami sudah menjalani latihan yang cukup rapi di bawah kendalian jurulatih, Mario Gomez dan rakan sepasukan tampak begitu bersemangat dan kerjasama berpasukan yang sudah lama dibentuk akan menjadi kekuatan Johor DT memburu kemenangan,” ujarnya.

Izham juga mengakui betapa kesilapannya yang tidak berada di posisi terbaik menyebabkan dia gagal menghalang bola rembatan deras Eugeneson Lyngdoh amat dikesali.

Menurutnya, apa jua kesilapan ketika separuh akhir pertama perlu segera diperbaiki selepas jurulatih, Khairul Azman Mohamad memberi penekanan terhadap latihan yang lebih agresif dan memperbaiki teknik menjaga gawang dengan lebih mantap dan menasihatkan untuk lebih waspada dengan bola rembatan jarak jauh.

“Kami melihat kembali rakaman video separuh akhir pertama untuk menganalisis corak permainan Bengaluru dan memantapkan setiap posisi untuk memastikan lawan tidak mengambil kesempatan pada aksi itu nanti,” jelas Izham.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 9:16 AM

Khamis, 29 September 2016

JDT berdepan laluan sukar, seri 1-1



SHAFIQ TINO
28 September 2016
  JDT berdepan laluan sukar, seri 1-1
Aksi perlawanan JDT menentang JSW Bengaluru FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berdepan laluan sukar apabila sekadar seri 1-1 dengan kelab dari India JSW Bengaluru FC dalam aksi pertama separuh akhir Piala AFC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Biarpun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Harimau Selatan ternyata gagal mempamerkan taring sebenar apabila tiada penyudah berjaya dihasilkan.

Bermula babak pertama, permainan dilihat lebih didominasi pelawat apabila gawang JDT hampir digegar seawal minit kelima menerusi tampanan pertahanan Bengaluru, John Johnson.

Sepanjang tempoh 15 minit pertama, Harimau Selatan juga dilihat tidak berdaya serta hilang punca selepas gagal menyaingi keampuhan jentera tengah kelab India tersebut.

Bangkit mengawal keadaan, pada minit ke-36 JDT yang menerusi pemain sayap, Azinee Taib cuba melancarkan serangan selepas memotong hantaran cuai pertahanan lawan namun rembatannya ke arah pintu gol sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, pasukan bimbingan Mario Gomez tidak menunggu lama untuk memperoleh gol pembukaan hasil tandukan kemas Pareyra Diaz menerusi sepakan sudut yang diambil kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-52.

Namun kegembiraan Harimau Selatan tidak bertahan lama apabila gerakan individu pemain tengah Bengaluru, Eugene Lyngdoh berjaya meledak masuk gol penyamaan dari luar kotak penalti pada minit ke-55.

Kemasukan S Chanturu dan Amri Yahya pada bagi menguatkan jentera serangan pada minit-minit akhir perlawanan juga gagal mengubah keputusan permainan yang menyaksikan JDT kekal 1-1 sama hingga wisel penamat.

Untuk rekod, perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sree Kantareeva pada 19 Oktober depan.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 28 September 2016