SHAFIQ TINO
28 September 2016
Aksi perlawanan JDT menentang
JSW Bengaluru FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.
JOHOR Darul Ta'zim (JDT)
berdepan laluan sukar apabila sekadar seri 1-1 dengan kelab dari India JSW
Bengaluru FC dalam aksi pertama separuh akhir Piala AFC di Stadium Tan Sri Dato
Haji Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Biarpun beraksi di hadapan
ribuan penyokong sendiri, Harimau Selatan ternyata gagal mempamerkan taring
sebenar apabila tiada penyudah berjaya dihasilkan.
Bermula babak pertama,
permainan dilihat lebih didominasi pelawat apabila gawang JDT hampir digegar
seawal minit kelima menerusi tampanan pertahanan Bengaluru, John Johnson.
Sepanjang tempoh 15 minit
pertama, Harimau Selatan juga dilihat tidak berdaya serta hilang punca selepas
gagal menyaingi keampuhan jentera tengah kelab India tersebut.
Bangkit mengawal keadaan, pada
minit ke-36 JDT yang menerusi pemain sayap, Azinee Taib cuba melancarkan
serangan selepas memotong hantaran cuai pertahanan lawan namun rembatannya ke
arah pintu gol sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, pasukan
bimbingan Mario Gomez tidak menunggu lama untuk memperoleh gol pembukaan hasil
tandukan kemas Pareyra Diaz menerusi sepakan sudut yang diambil kapten pasukan,
Safiq Rahim pada minit ke-52.
Namun kegembiraan Harimau
Selatan tidak bertahan lama apabila gerakan individu pemain tengah Bengaluru,
Eugene Lyngdoh berjaya meledak masuk gol penyamaan dari luar kotak penalti pada
minit ke-55.
Kemasukan S Chanturu dan Amri
Yahya pada bagi menguatkan jentera serangan pada minit-minit akhir perlawanan
juga gagal mengubah keputusan permainan yang menyaksikan JDT kekal 1-1 sama
hingga wisel penamat.
Untuk rekod, perlawanan separuh
akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sree Kantareeva pada 19 Oktober depan.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 28
September 2016