ISNIN, 12 SEPTEMBER 2016 @ 11:28 PM
Kesemua pemain cukup bersedia hadapi South China
Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez. – Foto espnfc.com
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala Konfederasi Bola Sepak
Asia (AFC), Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima suntikan semangat menjelang suku
akhir pertama berdepan kelab South China di Stadium Mongkok, Hong Kong
berikutan kesemua pemain cukup bersedia pada perlawanan esok.
Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez berkata pasukan itu
mengintai satu lagi kejayaan di kejohanan peringkat benua, selepas berjaya
mengekalkan kejuaraan Liga Super untuk musim ketiga berturut-turut sejak 2014,
pada minggu lepas.
"Sudah tentu kami gembira berjaya merangkul piala
Liga Super dan itu sasaran utama kami, namun kini kami mempunyai sasaran baharu
untuk mempertahan gelaran Piala AFC," katanya seperti dipetik dalam laman
web AFC www.the-afc.com.
"Ini tahap tertinggi kita dapat beraksi, ia
kejohanan antarabangsa dan kami mahu menang setiap perlawanan dalam setiap
kejohanan yang disertai," kata jurulatih berasal dari Argentina itu. Gomez
berkata, beliau cukup tahu kemampuan pasukan South China kerana pernah
membimbing kelab dari Hong Kong itu sebelum ini, dan yakin JDT mampu memperoleh
kelebihan jaringan di tempat lawan itu.
Dalam pada itu, jurulatih South China Ricardo Rambo
mengakui pasukannya bakal berdepan tugas sukar, namun percaya berdasarkan
pengalaman lepas dan menjadi satu-satunya kelab Hong Kong dalam kejohanan itu,
mereka mampu menampilkan prestasi terbaik menentang JDT.
"Ini perlawanan sangat penting bukan sahaja untuk
kelab dan pemain tetapi kepada seluruh rakyat Hong Kong. "Ia sesuatu yang
hebat beraksi dalam kejohanan ini, namun sudah tentu kami tahu ia adalah sukar
berdepan kelab yang mempunyai kekuatan seimbang di benteng pertahanan dan
jentera serangan," katanya.
"Pemain-pemain mempunyai pengalaman pada
pertemuan tahun lepas dan kami sudah beberapa kali menyaksikan perlawanan itu
bagi memastikan kami tidak lagi melakukan kesilapan. "Namun, apa yang
penting ia bukan sahaja pertemuan South China menentang JDT, ini sebenarnya
perlawanan Hong Kong berdepan Malaysia dan kami mahu memastikan seluruh rakyat
Hong Kong gembira," kata Rambo.
Pasukan tuan rumah
dijangka turun tanpa penyerang Chan Siu Ki berikutan sebab-sebab peribadi,
manakala penjaga gol Tsang Man Fai juga dikatakan belum sembuh sepenuhnya
daripada kecederaan tangan. Untuk rekod, kedua-dua pasukan bertemu pada
peringkat suku akhir musim lepas, menyaksikan JDT menang dengan agregat 4-2.
Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Larkin pada 20 September.
-- BERNAMA
SUMBER- : http://www.bharian.com.my/node/192189
Tiada ulasan:
Catat Ulasan