Sabtu, 3 September 2016

Johor FC jangan dabik dada - Smith

ARKIB : 23/04/1998
Johor FC jangan dabik dada - Smith
JURULATIH Johor FC, Ronald Smith tidak mahu para pemainnya mendabik dada selepas memenangi tiga perlawanan berturut-turut termasuk menewaskan Terengganu dalam pertandingan bola sepak Piala FA, kelmarin, lapor ISHAK SALLEH.

Bekas jurulatih Sabah itu berkata, perjalanan bagi perebutan kejuaraan Liga Perdana Dua dan Piala F.A masih jauh dan banyak perkara boleh berlaku.

Katanya lagi, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan pasukan ini pada waktu sekarang.

Katanya, para pemain harus sedar bahawa cabaran getir sedia menanti mereka pada perlawanan-perlawanan berikutnya.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan Piala F.A antara Johor FC dengan Terengganu yang berkesudahan Johor FC menang 2-0, tidak mahu pemainnya terlalu bermegah.

Johor FC setakat ini telah menewaskan Kelantan 3-2 dan Tentera 2-0 dalam perlawanan liga Perdana Dua.

Terengganu merupakan seteru utama Johor FC dalam persaingan liga Perdana Dua selepas memenangi dua perlawanan berturut-turut apabila menewaskan Tentera 5-0 dan Negeri Sembilan Chempaka 3-0.

Smith berkata, sekiranya perlawanan Piala F.A kelmarin itu adalah perlawanan Liga Malaysia Perdana Dua, beliau akan lebih bergembira kerana dapat menundukkan Terengganu yang bersaing di tangga teratas Perdana Dua.

Kata jurulatih itu lagi matlamat Johor FC ialah untuk menduduki tiga tempat teratas Perdana Dua dan beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata, pemain-pemainnya terlalu yakin dan memandang rendah skuad Johor FC.

Katanya, akibat daripada itu, mereka menerima padah dengan ditewaskan oleh sebuah pasukan kelab.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4JBppgSwa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan