WARTAWAN SINAR
HARIAN
17 SEPTEMBER 2016
JDT lakar sejarah
Pemain JDT menjulang Tunku Ismail selepas perlawanan menentang Terengganu.
TARIKH 9
September 2016 menjadi detik bersejarah buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila
dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut.
Kejayaan itu
muncul selepas anak buah Mario Gomez menjinakkan Terengganu 3-0 di hadapan
puluhan ribu penyokong fanatik Harimau Selatan di Larkin.
Lebih manis,
gelaran hatrik itu sah milik JDT ketika saingan masih berbaki dua lagi
perlawanan apabila meninggalkan pencabar terdekat, Felda United dengan 10 mata.
RAMUAN JUARA
BAYANGAN untuk
JDT menempa hatrik musim ini sudah kelihatan ketika pusingan pertama Liga Super
menutup tirainya 21 Mei lalu, apabila mereka menamatkan saingan awal dengan
menduduki kedudukan teratas liga.
Menariknya,
sepanjang 12 aksi liga, juara 2014 dan 2015 ini belum pernah tewas dengan
mana-mana pasukan, sebaliknya mengumpul 30 mata hasil sembilan kemenangan dan
tiga seri.
Pencapaian itu
menyaksikan skuad Harimau Selatan mengungguli Liga Super mengatasi pencabar
terdekat seperti Felda United, Selangor, T-Team dan Kedah.
KONSISTEN
MESKIPUN berdepan
jadual padat melibatkan perlawanan Liga Super, Piala FA, Kelayakan Liga
Juara-Juara Asia dan Piala AFC, JDT kekal konsisten sekali gus mencatatkan
keputusan yang baik dalam setiap perlawanan.
Apatah lagi anak
buah Mario Gomez ini sudah merangkul dua trofi iaitu Piala Sumbangsih dan Piala
FA.
Lebih manis,
kejayaan memenangi Piala FA mengesahkan skuad Harimau Selatan untuk bertanding
dalam kempen Piala AFC bagi musim depan, dan ia sekali gus sudah merealisasikan
sasaran diletakkan pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan.
KEBAL
DARIPADA 10
perlawanan di laman sendiri, JDT mencatat sembilan kemenangan dan hanya satu
keputusan seri.
Keputusan ini
boleh dianggap membanggakan dan hanya Kedah sahaja muncul satu-satunya pasukan
yang mampu mengikuti jejak langkah JDT apabila tidak kalah semasa beraksi di
tempat sendiri (berbaki dua perlawanan).
Sepanjang beraksi
di Larkin, JDT mengumpul 28 mata, manakala ketika bertandang ke gelanggang
lawan skuad Harimau Selatan mengumpul 24 hasil tujuh kemenangan dan tiga seri.
TUAI HASIL
MENURUT Pembantu
Ketua Jurulatih 1 JDT, Paul Longhi, kejayaan JDT meraih kejayaan hatrik bukan
terletak pada faktor nasib namun ia lebih kepada usaha keras berpanjangan warga
skuad Harimau Selatan.
Malah katanya,
komitmen tinggi pemain berjaya membantu merealisasikan sasaran ditetapkan
pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Kejayaan
ini juga tidak akan terhasil tanpa sokongan padu penyokong. Apa pun, sepanjang
musim kami berusaha gigih dan kami puas dengan hasilnya," ujar Longhi.
SUMBER-SINAR
HARIAN ONLINE 17 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan