PERTAHANAN Johor DT Aidil Zafuan (kanan) mengasak pemain
South China.
Kuala Lumpur: Kesilapan barisan pertahanan pada masa
kecederaan membawa padah apabila Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sekadar seri 1-1
dengan South China pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok,
malam tadi biarpun satu ketika mendahului 1-0 hampir sepanjang saingan.
Membariskan pasukan terkuat, anak buah Mario Gomez pantas
mengasak kubu tuan rumah menerusi gandingan Juan Martin Lucero dan Jorge
Pereyra Diaz yang kerap menghadirkan masalah kepada benteng pertahanan lawan.
Benteng tuan rumah diuji seawal minit ketujuh menerusi
rembatan kaki kiri Lucero yang sedikit tersasar sebelum ketua pasukan, Safiq
Rahim pula mencuba menerusi sepakan percuma yang turut gagal menemui sasaran
pada minit ke-10.
Hasil asakan bertali arus skuad Harimau Selatan itu,
akhirnya Diaz yang turut mengungguli senarai penjaring terbanyak saingan Liga
Super dengan 17 gol, berjaya mencetak namanya selaku penjaring melalui
percubaan leretnya pada minit ke-22.
Jaringan itu nyata menyentap semangat pemain tuan rumah
dengan anak didik Ricardo Rambo kembali menyusun rentak untuk memburu gol
penyamaan.
South China sepatutnya dapat menghasilkan gol pada minit
ke-29 melalui Mahama Awal tetapi pemain Cameroon itu gagal menterjemahkan
peluang kepada gol. Manakala peluang terbaik pelawat pula adalah melalui Lucero
pada minit ke-38 tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Leung Hing Kit.
Bersambung babak kedua, Johor DT terus garang mencari
bekalan selesa dengan Lucero sekali lagi mencuba nasib menerusi tandukan
selepas menerima hantaran lintang S Kunanlan pada minit ke-51 namun
percubaannya itu tersasar.
Penjaga gol Johor DT, Izham Tarmizi Roslan bertindak
cemerlang pada minit ke-66 apabila berjaya menepis sepakan kencang Awal buat
menyelamatkan seketika kubu pelawat.
Ketika permainan seakan berpihak Johor DT, Nikola Komazec
muncul wira tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pada minit kedua masa
kecederaan hasil kesilapan tonggak pertahanan Marcos Antonio untuk menewaskan
Izham.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi kedua di Larkin,
20 September ini bagi memburu tiket ke separuh akhir.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September
2016 @ 8:19 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan