Isnin, 26 September 2016

Hadiah Johor DT untuk peminat



Oleh MOHD. IZUAN ROSELI


TUNKU Aminah (tengah) memegang trofi Liga Super 2016 sambil diraikan bersama oleh para pemain serta pegawai skuad Johor DT di Larkin malam kelmarin.

HAMPIR 30,000 penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru malam kelmarin bagi meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super pada musim ini.

Sambutan atas kejayaan skuad Harimau Selatan itu bermula sejurus majlis penyerahan trofi Liga Super 2016 selepas tamat perlawanan antara pasukan tersebut yang menewaskan T-Team 5-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin.

Penyerahan piala tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab Bola Sepak Johor DT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Ia merupakan kejayaan kali ketiga berturut-turut buat skuad Johor DT muncul juara Liga Super bermula pada musim 2014.

Sejurus menerima piala Liga Super itu, barisan pemain dan pengurusan Johor DT mengadakan perarakan dari Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin menuju ke Dataran Bandaraya Johor Baharu bagi meraikan kejayaan tersebut bersama para penyokongnya.

Pemain-pemain dan staf kejurulatihan Johor DT diarak menggunakan bas dua tingkat sepanjang jalan-jalan utama di bandar raya Johor Bahru yang turut menyaksikan ribuan penyokong menunggu di sepanjang jalan tanpa mengira usia.

Kemuncak sambutan pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api selepas barisan pemain dan pengurusan Johor DT memperkenalkan trofi Liga Super kepada penyokong yang menanti dengan teruja di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Pemilik Johor DT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam titah baginda menzahirkan kesyukuran serta berterima kasih kepada semua pihak khususnya pemain, staf kejurulatihan serta Tunku Tun Aminah dan juga isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas sokongan baginda ke atas projek bola sepak Johor DT.

“Terakhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana sokongan anda sejak 2013 amat bermakna bukan sahaja kepada saya tetapi kepada seluruh bangsa Johor dan pasukan bola sepak Johor DT,” titah baginda

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4LML5tr9PHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan