Rizar Mohd Noor-rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) saja
melakar sejarah mencipta hatrik kejuaraan Liga Super malah pemain sayap kanan
skuad itu, Azamuddin Akil (gambar) turut mencipta sejarah peribadi selepas
melengkapkan koleksi peribadi empat piala yang dimenanginya sejak membabitkan
diri selaku pemain profesional.
Kini pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mahu
mengalih tumpuan ketika aksi lebih getir menanti dan mahu membantu Johor DT
memburu kemenangan pada aksi suku akhir pertama Piala AFC apabila menentang
South China di Stadium Mongkok, malam esok.
Katanya, perasaan gembira melengkapkan koleksi peribadi
selepas menjulang kejuaraan Liga Super amat dinanti-nantikan kerana sudah
memenangi Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih ketika bersama Pahang.
“Impian menjadi kenyataan dan ia hasil kerja keras semua
pemain Johor DT malah saya sendiri akui sejak menyertai pasukan ini, corak
permainan menjadi lebih mantap selepas menjalani latihan yang cukup tersusun
dan sistematik.
“Kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih Mario
Gomez ibarat satu amanah yang harus dilakukan dan saya bersyukur berjaya
melaksanakan bersama rakan sepasukan.
“Kini tumpuan kami beralih kepada saingan Piala AFC
apabila menentang kelab dari Hong Kong dan kami harus mencari kemenangan bagi
membawa bekalan selesa apabila beraksi pada suku akhir kedua di Stadium Larkin,
20 September ini,” katanya.
Jelasnya, moral pemain tampak begitu tinggi selepas melakar
sejarah pada kancah Liga Malaysia (Liga M) dan pastinya perlu ada kesinambungan
untuk melakar kemenangan apabila berdepan kelab dari Hong Kong itu.
Pemain sayap kanan itu tidak menafikan betapa tugas untuk
mencipta kemenangan tetap ada memandangkan barisan pemain Johor DT sudah
memahami kehendak perancangan taktikal Gomez dan perlu mengelak membuat
kesilapan mudah.
Malah katanya, walaupun terpaksa berpisah sementara
dengan keluarga sempena Hari Raya Aidiladha namun ia satu pengorbanan terbesar
buat dirinya yang mahu membantu Johor DT meneruskan rentak kemenangan selain
menaikkan imej kelab itu.
“Satu pengorbanan yang besar kami lakukan bagi memburu kejayaan
dan sebagai pemain profesional kami harus bersiap sedia dan mempamerkan corak
permainan konsisten dan menafikan penguasaan kelab dari Hong Kong.
“Rekod tanpa kalah ketika saingan Kumpulan H ingin
dikekalkan, walaupun kami tahu agak sukar selepas mendapat tahu pasukan South
China dibarisi pemain baharu yang mantap tapi kami akan tetap letak sasaran
untuk menang,” kata Azamuddin.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September
2016 @ 10:12 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan