Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemain tengah
Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Hariss Harun menyifatkan dia dan rakan
sepasukannya sudah bersedia untuk menentang Bengaluru FC pada aksi separuh
akhir pertama Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.
Dia yang tidak diturunkan ketika
Harimau Selatan membelasah T-Team 5-1 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu akibat
penggantungan, berazam memastikan tuan rumah meraih kemenangan untuk membawa
bekalan selesa apabila bertandang ke Bangalore, India, pada 19 Oktober depan.
“Saya sudah cukup rehat dan
kini bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan yang amat penting buat Johor
DT dan pastinya saya dan rakan sepasukan bertekad memberi persembahan terbaik
untuk memburu kemenangan.
“Menjuarai Liga Super tiga
musim berturut-turut adalah saat paling indah buat kami, namun ada tugasan yang
lebih penting perlu diharungi.
“Malah, kami sudah menjalani
latihan rapi untuk menghadapi kelab India itu. Kami perlu memastikan mendapat
bekalan selesa untuk dibawa ke aksi separuh akhir kedua nanti,” katanya.
Ditanya seandainya kapten Safiq
Rahim tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, Hariss menganggap skuad itu
tidak akan berdepan masalah kerana memiliki pengganti berwibawa seperti Amirul
Hadi Zainal dan Gary Steven Robbat.
Sementara itu, pengendali Johor
DT Mario Gomez mengesahkan pemain bek kanan S Kunanlan terpaksa diketepikan
akibat kecederaan dialami ketika menentang South China AA pada aksi suku akhir
kedua di Larkin, 22 September lalu.
Malah, beliau juga berharap
Safiq dapat diturunkan selepas pemain itu dilihat semakin pulih, namun
kedudukan kapten Johor DT hanya akan ditentukan selepas sesi latihan terakhir.
“Kita akan berdepan skuad
berbeza berbanding ketika menang dua perlawanan pada aksi Kumpulan H dalam
saingan peringkat kumpulan, malah formasi mereka juga tidak seperti dulu.
“Jika dulu mereka gemar dengan
formasi 5-3-2, kini formasi 4-4-2 pula diamalkan dan sama seperti kami, Johor
DT,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 28 September 2016 @ 9:09 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan