Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jaringan Juan
Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz melonjakkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT)
melangkah ke separuh akhir Piala AFC selepas menewaskan South China AA dengan
agregat 3-2 di Stadium Larkin, malam tadi.
Menang dengan 2-1 pada aksi suku
akhir kedua itu menempatkan skuad Harimau Selatan dalam kelompok empat terbaik
selepas seri 1-1 di Hong Kong, minggu lalu.
Johor DT tampak semakin hampir
untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFC dimenangi musim lalu dan menanti
pemenang di antara Bengaluru dari India atau Tampines Rovers (Singapura) yang
beraksi di Stadium Jalan Besar, malam ini.
Skuad kendalian Mario Gomez
yang mengekalkan kesebelasan utama ketika aksi di Stadium Mong Kok pada Selasa
lalu, bermula garang seawal minit ketiga namun Diaz gagal melakukan penyudah
berkesan.
Kerakusan tuan rumah mengintai
gawang lawan berterusan dengan bola hantaran Muhd Fazly Mazlan pada minit ke-13
tepat kepada Hariss Harun yang merembat kencang namun penjaga gol South China,
Tsang Man Fai sudah bersedia menampan bola keluar.
Gawang pelawat tampak masih
kebal selepas hantaran menarik Muhd Fazly pada minit ke-17 menyaksikan Diaz
sempat mendada bola sebelum merembat kencang namun sekadar melepasi palang gol.
Bagaimanapun, tuan rumah
terpaksa melupakan khidmat S Kunanlan yang hanya beraksi 28 minit selepas
mengalami kecederaan dan tempatnya diganti Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.
Ketika aksi memasuki minit
ke-31, Azamuddin Akil merembat kencang dari luar kotak penalti tetapi palang
gol menjadi penghalang ketika Man Fai sudah tertewas.
Pengadil perlawanan, Tantashev
Ilgiz dari Uzbekistan menghadiahkan sepakan penalti kepada Johor DT selepas Man
Fai mengasari Diaz dalam kotak penalti pada minit ke-50 namun peluang terhidang
disia-siakan kapten Safiq Rahim selepas Man Fai mudah menepis sepakannya.
Serangan bertali arus tuan
rumah membuahkan hasil pada minit ke-57 selepas hantaran leret Azamuddin
dissambut Lucero yang tidak dikawal, sekali gus memudahkan tugas pemain import
dari Argentina menjaringkan gol pembukaan Johor DT.
Tersentak dengan jaringan itu,
pelawat menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun gerakan pemain gantian
Ryan Griffith pada minit ke-74 gagal disudahkan Nikola Komazec yang merembat
terus ke dakapan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.
Ketika aksi berbaki tiga minit
untuk ditamatkan Diaz melengkapkan malam gemilang Johor DT apabila mudah
menanduk masuk gol kedua hasil sepakan sudut Safiq.
Komazec menjaringkan gol
saguhati pada minit ke-93 masa tambahan, namun sudah terlambat menghalang tuan
rumah daripada menang 2-1 dan mara ke separuh akhir.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 21 September 2016 @ 10:28 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan