Rabu, 12 April 2017

Harimau Selatan mengamuk di Larkin



 PEMAIN JDT meraikan jaringan Gabriel Miguel Guerra dalam perlawanan
PEMAIN JDT meraikan jaringan Gabriel Miguel Guerra dalam perlawanan
PEMAIN JDT meraikan jaringan Gabriel Miguel Guerra dalam perlawanan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

09 April 2017 11:23 PM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More979

JOHOR BAHRU 9 April - Johor Darul Ta’zim (JDT) mengutip tiga mata penuh di laman sendiri setelah berpesta gol apabila membelasah Melaka United 7-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Kemenangan bergaya juara hatrik Liga Super itu berjaya mengubat kekecewaan mereka selepas kalah dua perlawanan berturut-turut dalam Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini.

Anak-anak buah Benjamin Mora tidak mengambil masa lama apabila meledak gol sulung perlawanan menerusi sepakan leret pemain import Gabriel Miguel Guerra yang menerima hantaran daripada Mohd. Azrif Nasrulhaq pada minit keenam.

Kapten JDT, Safiq Rahim terus meletakkan pasukan di hadapan setelah menjaringkan gol kedua tuan rumah apabila berjaya menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Fazli Paat pada minit ke-17.

JDT yang terus menggasak berjaya menjarakkan jurang apabila memperoleh gol ketiga menerusi Mohd. Amirulhadi Zainal pada minit ke-22.

Tindakan JDT memasukkan Azammuddin Mohd. Akil menggantikan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-27 tepat apabila pemain sayap itu membantu Gonzalo Gabriel Cabrera menjaringkan gol keempat pada minit ke-33.

Enggan mengaku kalah, anak-anak buah Eric Williams cuba bangkit melalui beberapa percubaan, namun benteng pertahanan JDT berjaya mematahkan serangan menyebabkan mata 4-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, JDT tidak menunggu lama apabila tendangan kencang Azammuddin dari bahagian kiri pada minit ke-46 terus menerjah ke gawang gol.

Safiq sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol keenam pasukan menerusi bola muntah pada minit ke-58 dan gol hatrik pada perlawanannya tersebut menerusi sepakan penalti pada minit ke-87. Kedudukan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan. - UTUSAN ONLINE

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-selatan-mengamuk-di-larkin-1.467368#ixzz4e2bUNKVq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan