Rosilawati Rosedi
1 April 2017
HAJAT Johor Darul Ta'zim (JDT)
mencari kemenangan di Stadium Darul Makmur tak kesampaian selepas Pahang
memastikan laman sendiri terus kebal dengan bekalan selesa 3-1 ke atas lawan
dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2017 di sini sebentar tadi.
Skuad kendalian Dollah Salleh itu
mengejutkan lawan dengan gol pembukaan menerusi tandukan pemain tengah Ahmad
Syamim Yahya hasil hantaran kapten pasukan Matthew Davies pada m-13 di hadapan
penonton lebih 30,000 orang.
Namun pelawat kembali menyamakan
kedudukan selepas penjaga gol Pahang,Wan Azraie Wan Teh terlepas bola dan
peluang itu dimanfaatkan pemain pertahanan lawan Marcos Antonio Elias Santos
yang menyepak masuk ke dalam gawang Pahang pada M-21.
Tersentak dengan keadaan itu Tok
Gajah makin giat mengatur serangan namun beberapa peluang keemasan terlepas.
Antaranya empat minit sebelum
separuh babak pertama tamat tendangan Matthew sekadar ke dakapan penjaga gol
JDT Mohd Izham Tarmizi.
Separuh babak pertama perlawanan
berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat seri satu sama.
Bersambung babak kedua Pahang
tidak menunggu lama untuk kembali mendahului akibat kesilapan Izham Tarmizi
yang dimanfaatkan penyerang import kelahiran Brazil Matheus Alves menendang ke
dalam gawang lawan pada m-48.
Selang tiga minit kemudian JDT
juga nyaris mendapat peluang untuk menyamai kedudukan menerusi percubaan
penyerangnya Ahmad Hazwan Bakri namun tersasar di tepi gawang tuan rumah.
Pahang terus menguasai permainan
dan lawan terus derita dengan gol ketiga tuan rumah menerusi penyerang gantian
Chinedu Bright Dike pada m-66.
Sebaliknya lawan terus buntu dan
tambahan tiga minit gagal merubah keadaan sehingga wisel penamat dibunyikan
pengadil perlawanan Suhaimi Mat Hassan.
ROSILAWATI ROSEDI
SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE 1
April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan