Ahad, 23 April 2017

JDT tidak akan menyerah

 Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
ARISAN pemain Pahang sudah bersedia berdepan ancaman JDT di Larkin malam ini.

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) belum mahu menyerah.
Mereka bersedia untuk mencipta keajaiban dalam misi mempertahankan trofi Piala FA musim ini menjelang aksi separuh akhir kedua menentang pasukan Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Skuad kendalian Benjamin Mora itu perlu mencatat kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir memandangkan mereka ditewaskan 1-3 pada pusingan pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 1 April lalu.
Jaringan 2-0 sudah memadai buat JDT kerana mereka memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.
Berdasarkan prestasi semasa, JDT berada dalam kelas tersendiri selepas berjaya mencatat kemenangan berturut-turut dalam tiga aksi terakhir Liga Super dan satu perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika menewaskan Boeung Ket Angkor 3-0 di Phnom Penh, Kemboja minggu lalu.
Menurut penyerang muda Harimau Selatan, Mohd. Safawi Rasid, mereka akan memberi komitmen seratus peratus dalam misi memburu kemenangan pada perlawanan penting itu.
“Saya percaya, apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak. Cuma, kami perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi sebagai tuan rumah. Saya pasti jurulatih (Benjamin) memiliki perancangan tersendiri kerana Pahang juga bukan calang-calang pasukan.
“Jika disenaraikan dalam kesebelasan utama, saya bertekad untuk memberikan yang terbaik. Namun, sesiapa sahaja yang diturunkan pasti akan melakukan perkara yang sama kerana kemenangan buat pasukan adalah lebih penting,” kata pemain berusia 20 tahun itu ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Pemain skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara itu kini berada dalam momentum terbaik dan mungkin menjadi alternatif buat Mora selepas berjaya meledak satu gol pada perlawanan menentang Boeung Ket Angkor sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, pemain import JDT, Marcos Antonio menganggap aksi menentang skuad Tok Gajah sebagai pertembungan ‘buku bertemu ruas’ dan turut berharap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan komitmen dalam usaha mempertahankan trofi yang dimenangi musim lepas.
“Perlawanan menentang pasukan Pahang merupakan misi yang amat penting buat kami. Justeru, kami perlu memberikan komitmen seratus peratus,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers.
Pemenang aksi malam ini akan bertemu Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 28 April dan 12 Mei ini.
Dua lagi pasukan yang mengesahkan tempat ke separuh akhir ialah Kedah dan Terengganu.
Kedah menewaskan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Ipoh malam kelmarin dengan kelebihan agregat 6-2, manakala Terengganu menghampakan Sarawak 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti di Kuching.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan