Selasa, 18 April 2017

Johor FC kekal kedudukan

ARKIB : 12/04/2004
JOHOR FC mudah mengekalkan kedudukan tangga teratas Kumpulan A dalam persaingan bola sepak Liga Perdana apabila menumpaskan TNB Kelantan 3-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang semalam.
Tuan rumah hanya memerlukan 14 minit untuk mendapat gol pertama menerusi Rezal Zambery Yahya sebelum Walter Silva Ariel menghasilkan dua gol masing-masing pada minit ke-21 dan 46
Sementara itu, pencabar terdekat, PKNS Selangor hanya mampu membawa pulang satu mata setelah seri 2-2 dengan Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Keputusan itu meletakkan mereka kini ketinggalan tiga mata kepada Johor FC, yang telah mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan. PKNS bagaimana pun baru bermain empat perlawanan.
Brunei pula merapatkan diri dengan pasukan di atasnya apabila mencipta kemenangan 2-0 ke atas Tentera di Stadium TLDM, Lumut.
Skuad dari Borneo itu kini mengumpul enam mata, terikat dengan Selangor yang tidak bermain semalam.
Dalam persaingan Kumpulan B, MPPJ Selangor sekadar mampu seri 1-1 dengan Melaka di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Keputusan itu bagaimana pun sudah cukup buat juara Piala Malaysia itu untuk mengambil alih kedudukan pendahulu kumpulan daripada Johor menerusi kelebihan jumlah gol.
Melaka turut menyingkirkan Johor ke tangga ketiga dengan perbezaan jumlah jaringan.
Ketiga-tiga pasukan masing-masing mengumpul sembilan mata selepas lima kali beraksi.
Di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, tuan rumah, SKM Kelantan tunduk 2-0 kepada abangnya, skuad Kelantan untuk terus kekal di tangga tercorot di tempat kesembilan dengan hanya satu mata.
Kelantan, yang meraih kemenangan sulungnya semalam, melonjak satu tangga ke tempat ketujuh, di atas Terengganu berbekalkan kelebihan jumlah jaringan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan