Isnin, 24 April 2017

MPPJ, Johor FC kukuhkan kedudukan

ARKIB : 29/07/2004
JOHOR FC merampas kedudukan pendahulu Kumpulan A bola sepak Liga Perdana daripada Telekom Melaka selepas menumpaskan TNB Kelantan 1-0 di Stadium JCorp Pasir Gudang, semalam.
Telekom Melaka yang tumpas 3-2 kepada PKNS Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil jatuh ke tangga ketiga selepas turut dipintas oleh Selangor yang melonjak ke tempat kedua dengan menundukkan Polis 5-3 di Stadium Selayang.
Juara Piala Malaysia, MPPJ Selangor pula terus mengungguli Kumpulan B selepas seri 1-1 dengan Melaka di Stadium Petaling Jaya, manakala MK Land masih mengekori di tangga kedua walaupun kalah 2-1 kepada Terengganu di Stadium Sultan Ismail.
Dalam perlawanan di Pasir Gudang, Johor FC menjadikan perebutan gelaran Kumpulan A semakin panas dengan mengumpul 44 mata daripada 22 perlawanan.
Tuan rumah bagaimanapun dipaksa menunggu sehingga minit ke-42 sebelum menyumbat gol tunggal kemenangan menerusi tandukan pemain import, Walter Silva Ariel hasil hantaran Tayfun Ulvi Devrimol.
Sementara itu bekas penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman muncul wira PKNS Selangor apabila menjaringkan dua gol dalam lewat permainan untuk memastikan kemenangan pasukannya.
Rusdi menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-78 dan 79 selepas ketua pasukan Telekom Melaka, Nazzab Hidzan meletakkan pasukannya di depan seawal minit kesembilan untuk jaringan ke-10 musim ini.
PKNS menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Khairul Anhar Taam pada minit ke-16 dan jaringan Telekom Melaka menerusi Farid Dewan, lima minit sebelum tamat permainan sudah terlambat.
Di Kota Baharu, Kelantan SKMK terus menambah perit Kelantan apabila menang tipis 1-0 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.
Jaringan tunggal SKMK Kelantan menerusi penyerang import dari Thailand, Saranuwat Nasartsang pada minit ke-15 memastikan Kelantan terus menduduki tangga tercorot kumpulan.
Di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, tuan rumah Kuala Lumpur seri 2-2 sama dengan Negeri Sembilan.
Sementara itu Selangor mencerahkan peluangnya untuk melangkah ke Piala Malaysia dengan kemenangan 5-3 ke atas Polis.
Juara Piala Malaysia 29 kali itu kini mengumpul 44 mata selepas 21 perlawanan untuk berada di tangga kedua kumpulan B di belakang Johor FC.
Bagaimanapun Johor FC mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Selangor dari keseluruhan 24 perlawanan Liga Perdana.
Penyerang import Selangor Brian Fuences menjaringkan empat gol pada minit ke-17, 28, 58 dan 70 sebelum Mohd Irme Mat menjaringkan gol kelima pasukannya pada minit ke 81.
Gol polis pula dijaringkan oleh Eddy Gapil pada minit ke 27, David Anes (56) dan Nazrul Effendi (84).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan