Ahad, 23 April 2017

Johor FC rampas takhta

ARKIB : 24/06/2004
KEPUTUSAN

KUMPULAN A
JOHOR FC 2 SELANGOR 0
BRUNEI 1 TELEKOM MELAKA 2
PKNS 1 TNB KELANTAN 1
JPS KELANTAN 1 POLIS 2
KUMPULAN B
TERENGGANU 1 JOHOR 1
MELAKA 0 KUALA LUMPUR 1
MK LAND 0 SKMK KELANTAN 1
NEGERI SEMBILAN 4 KELANTAN 0
JOHOR FC mengambil alih kedudukan teratas Kumpulan A ketika beberapa pasukan kuat termasuk PKNS Selangor tumpas kepada lawan yang lebih kerdil dalam saingan bola sepak Liga Perdana semalam.
Dua gol pada babak pertama perlawanan menerusi Ahmad Nor Hapizah Bashri (minit 3) dan Walter Ariel Silva (27) membantu Johor FC mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Stadium JCorp., Pasir Gudang ketika pendahulu kedudukan sebelumnya, PKNS tumbang 1-0 kepada TNB Kelantan di Stadium Shah Alam.
Johor FC kini mengumpul 34 mata selepas 16 kali bermain tetapi PKNS yang mengutip 31 mata masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan, Telekom Melaka cemerlang apabila menewaskan tuan rumah, Brunei 2-1 untuk kekal di tangga ketiga.
Pasukan di tangga tercorot, JPS Kelantan pula mencipta kemenangan keduanya musim ini apabila menundukkan Polis 1-0 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Dalam persaingan Kumpulan B, pasukan di tangga kedua, MK Land dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada pasukan di tangga kedua terbawah, SKMK Kelantan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya tetapi masih mengekalkan kedudukannya.
Penyandang juara Piala FA, Negeri Sembilan bagaimanapun berpesta gol apabila menang 4-0 ke atas Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Johor pula terus kempunan untuk mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
L. Ragesh menjadi penyelamat Johor apabila menjaringkan gol pada minit ke-51 setelah Alfa Potowabawi menyumbat gol pendahuluan Terengganu pada minit ke-37.
Kuala Lumpur pula cemerlang di gelanggang lawan apabila menundukkan Melaka 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan