ARKIB : 05/03/2003
JOHOR FC yang gagal mencatat
sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan dalam bola sepak Liga Perdana Satu,
akan membuat perubahan pemain di barisan serangan dan pertahanan apabila
berdepan Kelantan di Pasir Gudang, Sabtu ini.
Jurulatih Johor FC, Azuan Zain
berkata, penyerang kebangsaan, Eddie Helmi Abdul Manan yang terlepas tiga
perlawanan awal kerana cedera, akan diturunkan.
``Selepas berbincang dengan
Pengarah Teknikal dan Kejurulatihan, Ronald Smith, perubahan pemain perlu
dilakukan termasuk penjaga gawang. Penjaga gol utama, Mohd. Sani Fahmi akan
digantikan dengan G. Jeevanathan,'' katanya.
Johor FC kini berada di tangga
kedua terbawah daripada 13 pasukan dalam Perdana Satu, tanpa mengutip sebarang
mata selepas tiga perlawanan.
Barisan serangan mereka hanya
mampu menjaringkan satu gol setakat ini iaitu menerusi pemain import dari
Australia, Johnathan Ben Angelucci tetapi sudah memboloskan lima gol.
Terengganu di tangga paling
bawah juga tanpa sebarang mata dan telah memboloskan 13 gol.
Perlawanan menentang Kelantan
Sabtu ini merupakan yang pertama skuad dari Selatan itu beraksi di gelanggang
sendiri selepas tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan.
Pada perlawanan pertama di Alor
Star, Johor FC tewas 2-0 kepada Kedah, kemudian kalah 1-0 kepada Telekom di
Melaka dan tunduk 2-1 kepada Sarawak di Kuching.
Menurut Azuan, persembahan Johor
FC dalam tiga perlawanan pertama itu begitu lembab dan barisan pertahanannya
banyak membuat kesilapan yang menyebabkan kekalahan.
``Kami berharap perubahan ini
dapat mengembalikan keyakinan pemain dan seterusnya mencatat kemenangan pertama
dalam kempen ini.
``Pertarungan di gelanggang
sendiri juga harus memihak kepada kami,'' katanya.
Johor FC musim ini menggunakan
tiga tenaga bekas pemain kebangsaan iaitu Zami Mohd. Noor, Tuan Kamree Tuan
Yahya dan Azmi Mohamed.
Kelantan hanya satu tangga di
depan Johor FC dengan mengutip satu mata sesudah tiga perlawanan diharungi.
Selepas bertemu Kelantan, Johor
FC dijadual menentang Telekom pada pusingan kedua Piala FA dengan perlawanan
pertama pada 12 Mac di Stadium Pasir Gudang.
Musim ini, Johor FC meletakkan
sasaran menamatkan liga di antara tiga tempat terbaik selepas menduduki tangga
keenam musim lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cdPNGOmR
© Utusan Melayu (M) Bhd