ARKIB : 11/02/2002
KEHADIRAN Johor FC dalam kancah
bola sepak Perdana Satu benar-benar dirasakan sekarang.
Dengan dua naib juara tahun
lepas telah menjadi mangsanya, yang terbaru naib juara Piala FA, Sarawak tumpas
2-0 kepada kelab dari selatan itu dalam jadual perlawanan kelmarin, Johor FC
merampas kedudukan pendahulu liga daripada Selangor yang gagal mengutip mata di
gelanggang sendiri.
Sebelum ini Johor FC
menumpaskan naib juara Piala Malaysia, Perak 1-0 di Pasir Gudang pada
perlawanan pertamanya, sebelum seri 1-1 di Pulau Pinang.
Kemenangan ke atas Sarawak
membolehkan Johor FC mendahului empat pasukan lain yang berkongsi enam mata
termasuk Selangor dengan kelebihan satu mata.
Perlis, berbekalkan rekod
jaringan lebih tinggi mengekori di tangga kedua diikuti oleh NS Chempaka, Perak
dan Red Giants. Hanya Selangor yang tumpas kelmarin manakala tiga pasukan saingannya
itu mencatat kemenangan bergaya.
Perlis menang 2-0 di Stadium
Hang Tuah, kelab NS Chempaka memalukan Kelantan dengan kemenangan 3-0 di Paroi
manakala Khalid Jamlus menerajui Perak mengaibkan Selangor dengan kemenangan
2-0 di Shah Alam.
Kekalahan Selangor itu
benar-benar satu tamparan hebat kepada skuad Red Giants yang sebelum perlawanan
mendapat suntikan semangat setelah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)
melancarkan bas milik sendiri dalam majlis yang diadakan di perkarangan
stadium.
Satu lagi pasukan yang meraih
perhatian ialah Terengganu. Skuad Penyu kembali menunjukkan rentak sang juara
apabila membelasah juara liga, Pulau Pinang 5-0 di Kuala Terengganu.
Ia adalah kemenangan pertama
skuad Mat Zan Mat Aris selepas tewas dua perlawanan pertamanya dan apakah ia
tanda bangkitnya semangat juara Piala Malaysia, hanya masa akan menentukan.
Namun, dengan kejayaan
membolosi gawang lawan sebanyak lima kali dalam tempoh satu malam, memberi
isyarat jelas kepada lawan Terengganu seterusnya agar berhati-hati apabila
bertandang ke Kuala Terengganu.
Terengganu dengan tiga mata
kini di tangga ke-10 di belakang Pahang, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
sendiri yang masing-masing memiliki kelebihan satu mata.
Melaka dan Kelantan yang turut
mengumpul tiga mata masing-masing menghuni tangga ke-11 dan 12 berdasarkan
perbezaan jaringan gol manakala Negeri Sembilan yang belum menunjukkan petunjuk
jelas mengenai kekuatannya di tangga ke-13, berkongsi satu mata bersama-sama
Sarawak di tangga tercorot.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bs1v35Jd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan