Sabtu, 18 Mac 2017

Johor FC perlu tiga mata

ARKIB : 11/08/2001
KEJUARAAN bola sepak Liga Perdana Dua hampir pasti menjadi milik Johor FC selepas kelab selatan itu mencatat kemenangan 3-2 ke atas Tentera dan kekalahan seteru terdekat, Sabah 3-2 kepada NS Chempaka, semalam.

Kemenangan NS Chempaka pula membolehkan pasukan itu melonjak ke tangga ketiga memintas Brunei yang tewas 2-1 kepada JKR Kedah di Alor Setar.

Johor FC dan Sabah sebelum ini terikat 41 mata dan kemenangan Johor FC melebarkan kedudukannya di tangga teratas sebelum perlawanan terakhir, Isnin ini.

Bagaimanapun, kejuaraan liga mungkin bakal diputuskan pada perlawanan terakhir Johor FC kerana Sabah masih memiliki baki dua perlawanan.

Johor FC kini memungut 44 mata daripada 21 perlawanan, manakala Sabah 41 mata selepas 20 perlawanan.

Mustaza Maah membuka jaringan pasukan tuan rumah pada minit keenam tetapi Tentera menyamakan kedudukan minit ke-25 oleh Nor Ismadi.

Pasukan pelawat mendebarkan penyokong Johor FC di Stadium Pasir Gudang, apabila mendahului 2-1 menerusi gol jaringan Zahid Hashim minit ke-29.

Bagaimanapun, dua gol Johor FC dalam tempoh tujuh minit menerusi Shukri Ismail (52) dan Idris Karim (59) memastikan Johor FC terus menjadi pilihan untuk muncul juara liga.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabah melepaskan peluang untuk terus menekan Johor FC apabila tewas 3-2 kepada NS Chempaka.

Shahrin Majid memberi kelegaan buat Sabah apabila membuka jaringan minit ketujuh tetapi tuan rumah membalas dengan tiga gol menerusi R. Sekar (16), Azmi Mohamed (27) dan R. Maniwarman (74) sebelum Jelius Ating menjaringkan gol kedua Sabah minit ke-76.

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Brunei mendahului 1-0 pada minit ke-23 menerusi Mohd. Shubhi Abdillah Bakir tetapi JKR Kedah mengecewakan skuad Borneo itu dengan dua gol jaringan Faris Yahya (47) dan Mat Zahir Wahab (83).

JKR Kelantan turut gagal di tempat sendiri apabila tewas 1-0 untuk merelakan Telekom Melaka memintas mereka di tangga kelima.

Gol tunggal Telekom Melaka dijaringkan oleh Shahiful Ardan Adenan minit ke-67.

Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur Malay Mail menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Gol pertama KL Malay Mail dijaringkan oleh S. Mathen menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 selepas R. Surendran dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tuan rumah kemudian menambah jaringan pada minit ke-44 setelah Mohamad Sham Mohd Nor menendang masuk satu hantaran silang di hadapan gawang Kedah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bi5q7JIN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan