ARKIB : 27/01/2002
PEMAIN NS Chempaka S. Sunder
(dua dari kiri) cuba menghalang kemaraan penyerang Negeri Sembilan, K. Rajan
pada perlawanan di Paroi, semalam. NS Chempaka menang 2-1. - Gambar MOHD. NOOR
AMIN
DUA pasukan kelab, Johor FC dan
NS Chempaka memberi amaran awal dalam kancah saingan bola sepak Liga Perdana
Satu, apabila masing-masing mencatat kemenangan mengejut pada perlawanan
pembukaan, semalam.
Johor FC mengaibkan naib juara
Piala Malaysia, Perak dengan kemenangan 1-0 manakala NS Chempaka memberi malu
kepada `abangnya', Negeri Sembilan dengan kemenangan bergaya 2-1.
Dalam aksi di Stadium Pasir
Gudang, Johor Bahru, Johor FC memperoleh jaringan tunggal itu menerusi tandukan
penyerangnya, Eddy Helmi Manan pada minit ke-35.
R. Sekar kemungkinan mencatat
nama sebagai penjaring terpantas Liga Malaysia musim ini, apabila meletakkan NS
Chempaka di depan seawal minit pertama permainan di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan
menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain NS Chempaka, Azmi Mohamed tetapi
skuad Rusa gagal menutup malu apabila tewas kepada jaringan kemenangan NS
Chempaka menerusi K. Kumaran dua minit sebelum tamat permainan.
Di utara tanah air, Perlis
berpesta gol menewaskan Kuala Lumpur 4-1 di Stadium Utama, Kangar.
Pemain import Perlis dari
Brazil, Adalberto de Souza Siqueira menjaringkan gol pembukaan Perlis hasil
hantaran silang Hairi Zamri Rashid pada minit ke-35.
Che Zambil Ahmad tidak
melepaskan peluang menjaringkan gol kedua Perlis hasil hantaran Adalberto pada
minit ke-46.
Adalberto sekali lagi menambah
jaringan pada minit ke-57, hasil hantaran Che Zambil, sebelum pemain tengah
Anuar Jusoh menutup malam gemilang Perlis dengan gol keempat minit ke-73.
Gol tunggal Kuala Lumpur
dijaringkan Mohd Nazreen Tee pada minit ke-75.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, tuan rumah Pahang ketinggalan pada babak pertama tetapi bangkit
menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk menang bergaya 2-1 ke atas Sarawak.
Ramles Sari mengejutkan skuad
Tok Gajah dengan jaringan pembukaan minit ke-13 tetapi penjaring terbanyak
Pahang musim lalu, Azizul Kamaluddin menyamakan kedudukan minit ke-60. Pemain
kebangsaan, Ahmad Shahruddin Rosdi menghasilkan gol kemenangan Pahang menerusi
sepakan percuma yang cantik pada minit ke-66.
Stadium Hang Tuah, nama baru
bagi Stadium Kubu, nyata memberi tuah kepada Melaka yang mencatat kemenangan
selesa 3-0 ke atas Kelantan.
Bagaimanapun, semua tiga gol
Melaka hadir pada babak kedua permainan. Halim Jantan membuka jaringan pada
minit kje-49 sebelum dua gol lagi disumbangkan oleh K. Nanthakumar minit ke-60
dan Ahmad Tarmini Saiban minit ke-69
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4br2sMqAm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan