ARKIB : 17/09/2000
PEMAIN Melaka, Mohd. Ayop Alias (kanan) cuba dihalang oleh Shahrin Majid
dari Pahang pada perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras,
semalam. Melaka menang 2-1.
JOHOR FC mencipta sejarah apabila mara ke saingan suku akhir Piala
Malaysia, mengiringi Perak dan Melaka sebagai tiga pasukan terakhir layak ke
suku akhir bola sepak Piala Malaysia semalam.
Kelab dari selatan semenanjung itu mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan
juara kumpulan C, Sarawak di Stadium Pasir Gudang hasil gol pendahuluan
penyerang, Azni Ariffin pada minit ke-27.
Sarawak mendapat gol penyamaan melalui Zulkarnaen Poasa pada minit ke-32.
Sementara itu, di Stadium Perak, gol K. Nanthakumar pada minit ke-45
membawa tuan rumah ke suku akhir sekali gus menyingkirkan Johor dengan
kemenangan 1-0.
Dua pesaing Johor FC dalam kumpulan C, Terengganu dan Sabah, masing-masing
terpaksa berputih mata selepas hanya mencapai keputusan seri tanpa jaringan di
Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Perak menduduki tempat kedua dalam kumpulan B, di belakang Negeri Sembilan
yang menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Darulaman pada satu lagi perlawanan.
Melaka pula mengejutkan Pahang dengan kemenangan 2-1 di Stadium KLFA,
Cheras untuk mengiringi Selangor dari kumpulan A.
Selangor, juara kumpulan A bagaimanapun menyaksikan rekod mereka dirosakkan
oleh juara tahun lepas, Brunei yang membuat kejutan dengan kemenangan 3-1 di
Bandar Seri Begawan.
Brunei bagaimanapun sudah tersingkir lebih awal dari saingan ke suku akhir.
Naib juara Perdana Satu, Pulau Pinang pula menyingkirkan Kelantan ke tangga
kedua kumpulan B apabila menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Bandaraya.
Kelantan yang menduduki tangga teratas kumpulan sejak awal saingan,
terpaksa melepaskan kedudukan itu setelah hanya mampu seri dengan Kuala Lumpur
di Stadium Sultan Mohd. ke-IV, Kota Bharu.
Johor FC akan bertemu juara kumpulan A, Selangor pada suku akhir, Pulau
Pinang menentang Perak, Sarawak bertemu Melaka manakala Negeri Sembilan
berdepan cabaran juara Perdana Dua, Kelantan pada 23 September ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b17JPGuc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan