Jumaat, 17 Mac 2017

Piala FA: Johor FC singkirkan juara bertahan



ARKIB : 29/03/2001
PASUKAN kelab, Johor FC meleburkan impian penyandang juara Piala FA musim lalu, Terengganu sekalipun tumpas 1-0 untuk mara ke suku akhir dengan agregat 3-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Kejayaan itu membolehkan Johor FC muncul kelab kedua mara selepas kemenangan JKR Kelantan ke atas Kuala Lumpur kelmarin.

Selepas mengaibkan lawan dengan kemenangan besar 3-0 di Stadium Perbadanan Pasir Gudang, Sabtu lalu, Johor FC yang membawa bekalan selesa ke Terengganu, bagaimanapun gagal menyekat penguasaan tuan rumah di babak kedua.

Dengan kedudukan terikat tanpa jaringan di babak pertama, memaksa Terengganu menggandakan asakan untuk memburu jaringan.

Usaha Faziallah Mamat berhasil pada minit ke-63 apabila dia menyumbat masuk gol tunggal pasukan itu untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Namun asakan demi asakan berikutnya oleh Terengganu berjaya digagalkan pertahanan Johor FC yang berjaya melengkapkan agregat 3-1 untuk meneruskan kemaraan.

Johor FC akan meneruskan cabaran suku akhir Piala FA menentang Sarawak yang memastikan kemenangan agregat 5-2 ke atas SKMK Kelantan di tempat sendiri kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bZB7X0Re
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan