ARKIB : 09/08/2000
JOHOR FC melakar sejarah
sebagai pasukan kelab pertama layak ke pertandingan bola sepak Piala Malaysia
apabila berjaya mengatasi Tentera dengan agregat 2-1 selepas menang 1-0 pada
perlawanan kelayakan kedua di Stadium Pasir Gudang, semalam.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1
pada perlawanan pertama di Cheras, Sabtu lalu.
Juara bertahan, Brunei turut
layak selepas menang agregat 5-1 ke atas TNB Kelantan. Brunei menang 2-1 di
Bandar Seri Begawan, semalam.
Sabah juga layak dengan agregat
7-3 selepas mengatasi Telekom Melaka 2-1 di Stadium Kubu.
Johor menafikan sejarah dicipta
JKR Kelantan untuk mengikut jejak Johor FC apabila menang penentuan penalti 3-1
selepas mencatat kemenangan 1-0 pada masa penuh di Kota Bharu untuk kedua-dua
pasukan terikat agregat 2-2 untuk memaksa penentuan penalti.
Johor FC bermain penuh
bersemangat sebaik sahaja perlawanan bermula dan mengejutkan pasukan pelawat
dengan jaringan pembukaan seawal minit kedua menerusi tendangan kencang Mohd.
Shukri Ismail hasil sepakan percuma Harun Laban di luar kotak penalti.
Sementara itu di Stadium Kubu,
Sabah yang berbekalkan kemenangan besar 5-2 pada perlawanan pertama di Likas
Sabtu lalu, terus garang apabila menumpaskan Telekom Melaka 2-1 pada perlawanan
kedua.
Namun, gol pertama perlawanan
hanya hadir pada minit ke-45 menerusi jaringan Redzuan Ahmad Khan sebelum Sabah
sekali lagi menggegarkan gawang tuan rumah apabila Suharmin Yusuf menendang
masuk hantaran lintang Rizal Awang Jad minit ke-60.
Telekom Melaka gagal merebut
peluang menjaringkan gol meskipun Sabah bermain dengan 10 orang setelah Henry
Saimpon diperintah keluar padang pada minit ke-70, akibat mengasari pemain tuan
rumah, Tan Gim Hong.
Apapun, jaringan gol terakhir
pasukan Telekom Melaka musim ini diperoleh pada minit ke-88, hasil hantaran
ketua pasukan, Rosli Hashim yang dimanfaatkan oleh G. Rameswaran.
Di Stadium Hassanal Bolkiah,
Bandar Seri Begawan, penyandang juara Brunei menewaskan TNB Kelantan 2-1 untuk
mara dengan agregat 5-1.
Brunei menang 3-0 pada
perlawanan pertama di Kota Bharu, Sabtu lepas.
Irwan Mohamad menjadi wira
Brunei dengan menjaringkan dua gol pada minit ketiga dan 37 sementara Ruzlan
Ismail menyumbat gol sagu hati TNB Kelantan pada minit ke-33.
Kejayaan mara ke persaingan
Piala Malaysia sudah pasti mengubat luka Brunei setelah tersingkir ke Perdana
Dua apabila menghuni tempat tercorot Perdana Satu musim ini.
Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV,
Kota Bharu, S. Sutesh menjaringkan gol tunggal Johor pada masa penuh perlawanan
kedua kelayakan untuk mengikat agregat 2-2 dengan JKR Kelantan.
Jaringan Sutesh pada minit
ke-85 sekali gus memaksa penentuan sepakan penalti diadakan yang akhirnya
memihak kepada si Jengking dengan kemenangan 3-1.
Rizal Sukiman, Roslan Hamid dan
Liew Kim Tu menyempurnakan sepakan penalti untuk Johor manakala Azhar Aziz
untuk JKR Kelantan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4aYsrnUwN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan