Selasa, 28 Mac 2017

Johor FC akan buat rombakan

ARKIB : 05/03/2003
JOHOR FC yang gagal mencatat sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan dalam bola sepak Liga Perdana Satu, akan membuat perubahan pemain di barisan serangan dan pertahanan apabila berdepan Kelantan di Pasir Gudang, Sabtu ini.

Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berkata, penyerang kebangsaan, Eddie Helmi Abdul Manan yang terlepas tiga perlawanan awal kerana cedera, akan diturunkan.

``Selepas berbincang dengan Pengarah Teknikal dan Kejurulatihan, Ronald Smith, perubahan pemain perlu dilakukan termasuk penjaga gawang. Penjaga gol utama, Mohd. Sani Fahmi akan digantikan dengan G. Jeevanathan,'' katanya.

Johor FC kini berada di tangga kedua terbawah daripada 13 pasukan dalam Perdana Satu, tanpa mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Barisan serangan mereka hanya mampu menjaringkan satu gol setakat ini iaitu menerusi pemain import dari Australia, Johnathan Ben Angelucci tetapi sudah memboloskan lima gol.

Terengganu di tangga paling bawah juga tanpa sebarang mata dan telah memboloskan 13 gol.

Perlawanan menentang Kelantan Sabtu ini merupakan yang pertama skuad dari Selatan itu beraksi di gelanggang sendiri selepas tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan.

Pada perlawanan pertama di Alor Star, Johor FC tewas 2-0 kepada Kedah, kemudian kalah 1-0 kepada Telekom di Melaka dan tunduk 2-1 kepada Sarawak di Kuching.

Menurut Azuan, persembahan Johor FC dalam tiga perlawanan pertama itu begitu lembab dan barisan pertahanannya banyak membuat kesilapan yang menyebabkan kekalahan.

``Kami berharap perubahan ini dapat mengembalikan keyakinan pemain dan seterusnya mencatat kemenangan pertama dalam kempen ini.

``Pertarungan di gelanggang sendiri juga harus memihak kepada kami,'' katanya.

Johor FC musim ini menggunakan tiga tenaga bekas pemain kebangsaan iaitu Zami Mohd. Noor, Tuan Kamree Tuan Yahya dan Azmi Mohamed.

Kelantan hanya satu tangga di depan Johor FC dengan mengutip satu mata sesudah tiga perlawanan diharungi.

Selepas bertemu Kelantan, Johor FC dijadual menentang Telekom pada pusingan kedua Piala FA dengan perlawanan pertama pada 12 Mac di Stadium Pasir Gudang.

Musim ini, Johor FC meletakkan sasaran menamatkan liga di antara tiga tempat terbaik selepas menduduki tangga keenam musim lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cdPNGOmR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan