Sabtu, 18 Mac 2017

PP, Johor FC julang Piala Liga



ARKIB : 19/08/2001
PEMAIN Pulau Pinang meraikan gol kedua mereka yang dijaringkan oleh Ng Kok Heng (tiga dari kiri) ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Batu Kawan, semalam. Pulau Pinang menang 3-1 sekali gus muncul juara Perdana Satu.- Gambar ISHAK RAHMAD.

PULAU PINANG dan Johor FC mengesahkan kejuaraan bola sepak Liga Perdana Satu dan Dua selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing, semalam.

Skuad Harimau Kumbang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi di Stadium Batu Kawan manakala Johor FC muncul juara selepas pencabar terdekatnya, Sabah sekadar seri tanpa jaringan dengan JKR Kedah di Alor Setar.

Biarpun kempen Liga Perdana Satu hanya berbaki satu perlawanan, kemenangan Pulau Pinang semalam sudah cukup untuk mereka meraih habuan wang tunai RM150,000 selaku juara selain RM40,000 sebagai juara pusingan kedua.

Manakala Terengganu yang menang 2-1 di Melaka, meraih RM100,000 di tempat kedua.

Habuan tempat ketiga masih menjadi rebutan antara Kelantan dan Selangor selepas kedua-dua pasukan turut mencatat kemenangan.

Kelantan menang 1-0 ke atas Pahang di Kuantan manakala Selangor mengatasi Perlis 2-0 di Kangar. Tempat ketiga menyediakan hadiah wang tunai RM75,000.

Johor FC selaku juara Perdana Dua menerima RM100,000 manakala Sabah di tempat kedua menerima RM75,000 dan NS Chempaka RM50,000.

Johor FC dan NS Chempaka mencipta sejarah apabila bakal beraksi buat pertama kali Perdana Satu musim depan.

Dua pasukan itu bersama Sabah juga layak secara automatik ke Piala Malaysia musim ini.

Lima lagi pasukan dari Perdana Dua akan bertarung dalam playoff bersama tiga pasukan terbawah Perdana Satu untuk mengisi empat lagi tempat ke Piala Malaysia.

Gol Pulau Pinang dijaringkan Ng Kok Heng pada minit ketiga dan 25 serta jaringan penalti Hasmawi Hassan minit ke-86 mengecewakan si Rusa yang mampu merapatkan jurang menerusi jaringan Afendi Malek minit ke-19.

Negeri Sembilan biarpun tewas tetapi layak secara automatik ke Piala Malaysia selepas pasukan tangga bawah turut gagal meraih mata.

Juara bertahan Piala Malaysia, Perak turut layak apabila berkenduri gol 4-0 ke atas Johor di Stadium Larkin.

Gol-gol Perak dijaringkan oleh Norizam Ali Hassan (38, 45), V. Saravanan (43) dan Azrul Amri Burhan (71).

Di Stadium Kubu, Terengganu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka untuk memaksa skuad Kancil menunggu perlawanan terakhir Selasa ini untuk menentukan nasib sama ada layak ke Piala Malaysia secara automatik.

Wan Rohaimi Ismail menjaringan dua gol minit ke-12 dan 16 dan Aizal Lamin merapatkan jurang minit ke-31.

Di Stadium Utama, Kangar, pasukan tuan rumah tumpas 2-0 kepada Selangor.

Kedua-dua pasukan yang sudah melayakkan diri ke Piala Malaysia terpisah menerusi jaringan Yusri Che Lah minit ke-44 dan Mohd. Amri Yahyah minit ke-69.

Di Stadium Sarawak, Kuala Lumpur dan pasukan tuan rumah terpaksa menunggu aksi terakhir Selasa ini untuk menentukan tempat ke Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Sarawak kini di tangga kesembilan dengan 24 mata manakala Kuala Lumpur tempat ke-11 dengan 22 mata.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang tewas 1-0 kepada Kelantan menerusi jaringan Faturozi Razi minit ke-53.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bjMWTD72 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan