ARKIB : 18/09/2000
JOHOR FC yang mencipta sejarah sebagai kelab pertama melayakkan diri ke
suku akhir bola sepak Piala Malaysia di negara ini menganggap kejayaannya
sebagai tuah yang amat berharga kerana sebelum ini pasukan itu tidak diberikan
harapan untuk mara jauh ke peringkat itu.
Jurulatih pasukan itu, Azuan Zain berkata, pasukan itu bernasib baik kerana
seri 1-1 dengan Sarawak pada malam kelmarin diikuti dengan keputusan seri 0-0
di antara pasukan Sabah dan Terengganu di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu.
Sabah dan Terengganu memerlukan kemenangan jika ingin melangkah ke suku
akhir dan mengharapkan Johor FC tewas pada pertemuan dengan Sarawak di Stadium
Pasir Gudang, Johor Bahru.
Beliau berkata, pasukannya mengharapkan kemenangan untuk menentang Sarawak,
kerana hanya dengan cara itu, pasukannya dapat dijamin melayakkan diri ke dalam
perlawanan suku akhir Piala Malaysia.
''Saya bersyukur, pasukan Johor FC melangkah ke suku akhir meskipun pemain
saya tidak menunjukkan permainan sebaik menentang Terengganu pada minggu
lalu,'' katanya di sini, sambil merendah diri.
Menurutnya, pada perlawanan menentang Sarawak kelmarin, pemainnya banyak
kehilangan bola, malah jurang persefahaman di antara pemain tengah dengan
pemain serangan masih lagi besar.
Menyentuh mengenai peluang pasukannya ketika menentang juara Piala Liga
Perdana Satu, Selangor, Sabtu depan, di gelanggang lawan, Azuan tidak berani
untuk meramalkan peluang pasukannya itu.
''Selangor pasukan yang gagah seperti yang kita ketahui tetapi Johor FC
akan cuba sedaya upaya,'' ujarnya.
Oleh: MIR AZRI SHAMSUDDIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b1FjtSVu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan