ARKIB : 09/05/2001
JOHOR FC berhak untuk mendabik
dada. Tujuh kemenangan dan sekali seri yang dirakamkan oleh pendahulu bola
sepak Perdana Dua itu daripada lapan perlawanannya setakat ini adalah permulaan
cukup bergaya untuk mereka berasa bangga dengan diri sendiri.
Bagaimanapun, dalam dua
perlawanan terakhirnya Johor FC mula menampakkan sedikit kemerosotan. Apa yang
berlaku? Mungkinkah kelab bola sepak pertama ke suku akhir Piala FA itu sudah
mula terkenang bintang dilangit sehingga terlupa rumput yang mereka pijak?
Persoalan ini timbul berikutan
keputusan yang dicatatkan oleh mereka ketika menentang pasukan tercorot Perdana
Dua, KL Malay Mail dan Polis.
Seharusnya persembahan hambar
dalam dua perlawanan terakhir mereka menyedarkan jurulatih pasukan, Azuan Zain
untuk membangkitkan anak-anak buahnya agar kembali semula ke alam nyata.
Sementara itu, pasukan di
tangga kedua, Sabah terus membayangi Johor FC. Kemenangan 2-0 ke atas Kedah di
Stadium Penampang membolehkan mereka mengumpul 18 mata, empat mata di belakang
kelab dari selatan Semenanjung itu.
Selepas kekalahan memalukan 1-0
kepada Brunei, Sabah cuba membina semula kekuatan untuk menumpaskan Kedah dan
berada selesa di depan JKR Kelantan yang berada di tempat ketiga liga dengan 13
mata.
JKR Kelantan, bagaimanapun
hanya bermain tujuh perlawanan berbanding lapan yang sudah dilalui oleh Sabah.
JKR Kelantan setakat ini hanya
kalah sekali kepada Johor FC dan mencatat tiga kemenangan dan empat kali seri
untuk terus memberi tekanan kepada dua pasukan teratas.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bb0EGEIF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan