ARKIB : 16/02/2002
MELIHAT kemegahan Johor FC
bertakhta di persada bola sepak Liga Perdana Satu, pasti ada yang cemburu
dengan kedudukan pasukan kelab dari selatan itu.
Selepas tiga perlawanan, Johor FC
di tempat teratas dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri tetapi
mereka hanya dipisahkan satu mata dengan empat pasukan di bawah termasuk satu
lagi pasukan kelab, NS Chempaka.
Pasukan bimbingan Azuan Zain itu
nampaknya lebih menonjol berbanding pasukan negeri, Johor yang semakin merosot
prestasi sehingga terperosok di tangga terbawah Perdana Dua.
Apa pun, cemburu pasukan lain
pasti meluap-luap dan masing-masing pasti berusaha memadamkan kehebatan Johor
FC.
Malam ini giliran Negeri Sembilan
yang melayan kunjungan pasukan itu di Paroi.
Jurulatih skuad Rusa, Zaki Sheikh
Ahmad awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada anak buahnya tentang kehebatan
Johor FC.
Apakah Johor FC mampu meneruskan
rentak cemerlang mereka atau disekat oleh Negeri Sembilan malam ini.
Skuad Rusa bagaimanapun mempunyai
misi utama selain memadam kehebatan pasukan lawan itu iaitu meraih kemenangan
pertama liga.
Selepas tiga perlawanan, Negeri
Sembilan hanya mencatat satu seri dan tewas dua perlawanan.
Selain pertarungan hebat di
Paroi, perlawanan Pulau Pinang-Selangor di Batu Kawan turut menjanjikan aksi
serupa.
Dua pasukan itu sedang terluka
tewas pada perlawanan Sabtu lalu dan mahu kembali memperbaiki maruah.
Selangor dimalukan Perak 2-0 di
gelanggang sendiri di Shah Alam dan Pulau Pinang lebih pilu, kalah teruk 5-0 di
Kuala Terengganu.
Skuad Merah Kuning, juara Piala
Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih bagaimanapun tidak berdepan tugas
mudah untuk mengatasi juara bertahan liga itu di Batu Kawan.
Perlawanan Perlis, yang kini di
tangga kedua, dengan pasukan tangga ketiga, NS Chempaka bakal menentukan siapa
lebih gagah untuk memintas Johor FC atau sekurang-kurangnya mengekori pendahulu
itu.
Kedua-dua pasukan berkongsi enam
mata dan masing-masing masih segar dengan kemenangan Sabtu lalu.
Perlis menang 2-0 ke atas Melaka
di gelanggang lawan manakala NS Chempaka menewaskan Kelantan 3-0 di Paroi.
Perak harus mengambil kesempatan
di atas kepincangan Melaka di Stadium Hang Tuah, yang tidak selalu memberi tuah
kepada pasukan tuan rumah ketika ini.
Dalam perlawanan lain, Sarawak
masih mencari kemenangan pertama liga tetapi lawan yang ditentang, Terengganu
di Kuching malam ini masih berbangga dengan kemenangan besar ke atas Pulau
Pinang.
Kelantan harus mengutip mata
penuh di Kota Bharu, apabila berentap dengan Pahang manakala Kuala Lumpur
menanti kunjungan Sabah di Cheras.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bwCdbVcY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan