Ahad, 19 Mac 2017

Johor FC tanam semangat juang

ARKIB : 02/10/2001
Oleh: MIR AZRI SHAHARUDIN
JOHOR FC tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang ke atas Kuala Lumpur dalam saingan kumpulan A bola sepak Piala Malaysia malam ini meskipun menyedari mereka mungkin beraksi tanpa empat tonggak utama.

Azuan Zain, jurulatih kelab dari selatan itu berkata, Idris Karim dan Azni Ariffin digantung satu perlawanan selepas masing-masing mengumpul dua kad kuning menyebabkan mereka sudah pasti tidak akan diturunkan.

Bagaimanapun, kata beliau, dua lagi pemain, Ahmad Norhapiza Bashri dan Mohd. Shukri Ismail pula masih cedera dan masih belum pasti dapat beraksi.

``Kami akan mengadakan ujian fizikal dan kecergasan untuk memastikan sama ada dua pemain itu mampu beraksi dalam kesebelasan utama,'' katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, semalam.

Azuan berkata, masalah itu amat menghantui Johor FC ketika ini kerana kemenangan ke atas Kuala Lumpur akan membuka peluang cerah untuk melangkah ke suku akhir.

Menurutnya, beliau perlu mencari pengganti terbaik untuk menggantikan keempat pemain itu yang difikir mampu memikul tanggungjawab untuk membantu pasukan meraih kemenangan.

Malah, katanya, beliau telah menasihatkan pemain supaya tidak memandang remeh pasukan Kuala Lumpur yang pernah ditewaskan 2-0 dalam pertemuan pusingan awal dalam kumpulan A pada 25 September lalu.

``Kuala Lumpur yang tidak lagi mempunyai harapan ke suku akhir boleh bertindak sebagai pasukan pengacau dan mampu meranapkan peluang mana-mana pasukan untuk ke suku akhir,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bl1J9eYX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan