ARKIB : 16/01/2002
JUARA Liga Perdana Dua musim
lepas, Johor FC percaya mampu membuka tirai Liga Perdana Satu pada 26 Januari
ini dengan bergaya berikutan kemantapan gandingan kesebelasan utamanya pada
sesi latihan dan dua perlawanan persahabatan yang dilalui setakat ini.
Jurulatihnya, Azuan Zain
berkata, barisan utamanya yang dikekalkan daripada pemain-pemain yang
membantunya menduduki tempat teratas Liga Perdana Dua musim lepas didapati
mampu bergandingan baik dengan pemain import dari Kelab Sydney United, Jon
Angelucci.
Walaupun tewas 1-2 ketika
bertemu Sarawak dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Pasir
Gudang malam tadi dan tewas juga kepada Telekom Melaka di gelanggang sama
minggu lepas, kekalahan itu tidak membimbangkan Azuan.
``Walaupun tewas dalam dua
perlawanan persahabatan itu, saya puas hati dengan persembahan anak-anak buah
saya dan gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Angelucci,'' katanya
di Johor Bahru, semalam.
Angelucci buat kali pertama
kalinya diturunkan dan hanya bermain separuh masa pertama sahaja dan menurut
Azuan, pemain kulit putih itu tahu memanfaatkan ketinggiannya, selain
pergerakannya pantas sesuai dengan kedudukannya sebagai penyerang.
Angelucci sebelum ini bermain dengan
kelab Sydney United tiba di Johor Baharu Sabtu lepas dan masih dalam proses
menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini yang agak panas baginya.
Johor FC masih menunggu seorang
lagi pemain pertahanan, yang juga mampu menguatkan barisan tengahnya, Vince
Savoca dijangka tiba beberapa hari lagi.
Azuan berkata tumpuannya
sekarang ialah meningkatkan lagi kecergasan anak-anak buahnya menjelang
perlawanan Liga Perdana Satu menentang Perak di Pasir Gudang pada 26 Januari.
Sementara itu, Johor FC akan
menentang Angkatan Tentera pada 17 Januari dan KL Malay Mail pada 20 Januari.
Kedua-dua perlawanan
persahabatan itu akan berlangsung di Pasir Gudang dan Johor FC berazam untuk
menunjukkan taring sebenarnya. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bqUkrxc0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan