ARKIB : 23/08/2000
JOHOR FC membuka tirai
perlawanan Piala Malaysia dengan bergaya apabila memalukan pasukan dari Liga
Perdana Satu, Sabah dengan kemenangan 1-0 di Stadium Pasir Gudang, semalam,
lapor MIR AZRI SHAHARUDIN.
Bekas pemain Sabah, Harun Laban
menjadi wira Johor FC apabila membuat tendangan deras menewaskan penjaga gol
pasukan pelawat, Khairul Azman Mohamad pada minit ke-85, hasil hantaran cantik
Sheikh Ahmad Redzuan.
Johor FC berjaya menyaingi
kehebatan pasukan lawan dengan corak permainan menyerang yang teratur dan
berbahaya dalam separuh masa kedua berbanding pada babak pertama.
Pada minit ke-53, pasukan
pelawat nyaris menjaring gol sendiri ekoran kesilapan pemain pertahanan mereka,
Borhan Ajui yang menghantar bola tinggi ke arah penjaga golnya, Khairul Azman
Mohamad yang terpaksa menolak bola itu keluar dari mencecah jaring gol.
Pada minit ke-58, pemain Johor
FC, Suhaimi Jamil nyaris menjaring gol pendahuluan jika tandukan kencangnya di
hadapan pintu gol lawan tidak tersasar melewati palang gol.
Khairul Azman terpaksa bekerja
keras pada separuh masa kedua, ekoran asakan bertubi-tubi pemain Johor FC dan
pada minit ke-75, bola tendangan deras Mohd. Khaidir Mohd. Dom berjaya
ditangkap kemas walaupun terpaksa merebahkan badan.
Pada separuh masa pertama,
Johor FC berjaya mengekang asakan pasukan pelawat sehingga Sabah gagal membuat banyak
serangan dan percubaan merbahaya ke arah pintu gol.
Johor FC yang bermain penuh
bersemangat di hadapan penyokong sendiri nyaris mendahului Sabah pada minit
ke-42 melalui percubaan leret Sheikh Ahmad Redzuan.
Bagaimanapun, tendangan Sheikh
Ahmad berjaya ditepis keluar oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman
Mohamad.
Sabah pula terlepas peluang
keemasan untuk menjaringkan gol pada minit ke-45 apabila Mohd. Jaya Kasim
membuat sepakan deras melepasi palang gol walaupun hanya berhadapan dengan
penjaga gawang Johor FC, Shamsul Sabtu.
Sementara itu, penyandang
juara, Brunei bermula hambar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A bola sepak
Piala Malaysia apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Melaka di Stadium
Merdeka, semalam.
Brunei, yang terpaksa bermain
dalam playoff untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia tidak langsung mempamer
aksi sebagai juara bertahan apabila membenarkan Melaka menguasai permainan
sejak perlawanan bermula.
Sebaliknya Melaka, yang
menjadikan Stadium Merdeka sebagai gelanggang tuan rumah selepas tidak dapat
menggunakan Stadium Kubu kerana masalah lampu limpah, lebih mencuri tumpuan
dengan percubaan-percubaan menarik.
Penguasaan Melaka bermula pada
minit ke-25, apabila memperoleh peluang terbaik untuk membuka jaringan menerusi
Sri Jaafar Rahman yang hanya berdepan penjaga gol Brunei, Azlizanda Sitom.
Walaupun tidak berada dalam
keadaan tertekan, Sri Jaafar gagal melakukan sepakan yang sempurna apabila bola
tendangannya tersasar di kanan pintu gol lawan.
Peluang Melaka untuk mendahului
tiba lagi pada minit ke-35 menerusi K. Rajan, bagaimanapun sepakan Rajan
melepasi palang gol Brunei untuk kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga
tamat babak pertama.
Naib juara Liga Perdana Dua,
Melaka bermula agresif sebaik wisel separuh masa kedua ditiupkan dengan
melakukan serangan bertubi-tubi ke pintu gol pasukan lawan.
Anak-anak buah Ramli Junid itu
hampir membuka jaringan menerusi Rashid Mahmud pada minit ke-48, namun sepakan
voli yang dilakukannya ditepis Azlizanda.
Belum sempat Brunei mencari
gerakan untuk mengatur serangan, pertahanan mereka diuji lagi pada minit ke-50
kali ini giliran Rizalruddin Abdul Ghani yang hanya perlu menguis bola selepas
hanya berdepan dengan penjaga gol, tetapi Azlizanda pantas menangkap bola di
kaki pemain itu.
Perlawanan lebih seimbang
selepas 60 minit permainan, apabila Brunei mula mencipta serangan dan Suni Mat
Jerah hampir membolosi gawang Melaka, namun rembatannya terkeluar di kiri pintu
gol lawan walaupun hanya berdepan satu sama satu dengan penjaga gol, Asri
Sanusi.
Brunei menggandakan asakan
menerusi Riwandi Wahit yang melepasi dua pertahanan lawan, tetapi percubaannya
pada minit ke-70 ditangkap kemas oleh Asri, sebelum sepakan Radiman Abdul
Rahman tersasar jauh dari kanan pintu gol empat minit kemudian.
Melaka sekali lagi memperoleh
peluang keemasan untuk menamatkan kemarau jaringan tujuh minit sebelum
perlawanan tamat, tetapi rembatan Jaafar terkena palang kiri pintu gol walaupun
Azlizanda sudah tertewas.
Walaupun memperoleh banyak
peluang, namun kegagalan menemui penyudah memaksa perlawanan berkesudahan seri
tanpa jaringan sehingga tamat 90 minit permainan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4auymk7zb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan